Cleo sudah ditemui, penculik ditahan

PERTH, AUSTRALIA, 3 NOV – Seorang kanak-kanak perempuan berusia empat tahun yang diculik di sebuah tapak perkhemahan 18 hari lalu, ditemui dalam keadaan sihat, ketika serbuan ke atas sebuah rumah berkunci, hari ini, memberitahu rasa terkejutnya dan menggembirakan penyelamat dengan mengatakan, ‘Nama saya Cleo’.

Cleo Smith dilaporkan hilang dari khemah keluarganya, di pedalaman Australia Barat bulan lalu, sehingga mencetuskan misi pencarian di air, udara dan daratan membabitkan 100 pegawai dan sukarelawan.

Ramai ketika itu bimbang misi pencarian bakal berakhir dengan tragedi, namun berita gembira menyusul selepas serbuan di sebuah rumah, malam tadi dekat bandar pesisir Carnarvon, yang terletak tidak jauh daripada lokasi kanak-kanak berkenaan dilaporkan hilang, menemukan Cleo dalam keadaan selamat.

“Seorang pegawai meluru ke arah kanak-kanak perempuan berkenaan untuk membawanya keluar,” kata Detektif Cameron Blaine yang menjadi antara petugas penyelamat dalam serbuan pada jam 1 pagi tadi.

“Selepas terkejut kerana didatangi polis yang melakukan serbuan, saya bertanya kepada kanak-kanak berkenaan namanya sebanyak tiga kali.

Gambar yang diterima pada 3 November menunjukkan Cleo Smith di sebuah hospital selepas diculik dari khemah keluarganya di Australia Barat. – AFP

“Akhirnya, dia menjawab ‘Nama saya Cleo’,” katanya.

Polis turut mengakui bahawa detektif berpengalaman yang mengendalikan serbuan terbabit dilihat menitiskan air mata kegembiraan susulan penemuan Cleo dan ketika kanak-kanak berkenaan kemudian ditemukan semula dengan ibu bapanya di hospital.

Ibunya, Ellie menzahirkan penghargaan dalam media sosial.

“Keluarga kami kembali lengkap,” katanya dalam keterangan gambar Cleo yang dimuat naik di Instagram.

Polis kemudian memuat naik gambar Cleo yang kelihatan ceria ketika sedang berada di katil hospital, sambil menikmati aiskrim di tangan dan melambai.

Timbalan Pesuruhjaya Polis, Kolonel Blanch berkata, Cleo kini kembali bersemangat dan aktif.

“Ia sangat luar biasa. Ia sesuatu yang kita sentiasa harapkan dan akhirnya termakbul,” katanya

Susulan penemuan Cleo, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditahan untuk membantu siasatan dan dijangka didakwa lewat hari ini.

Bulan lalu, Polis Australia menawarkan ganjaran A$1 juta untuk maklumat yang membawa kepada penemuan Cleo selepas kanak-kanak terbabit dikhuatiri diculik daripada tapak perkhemahan di Blowholes, kira-kira 1,000 kilometer utara Perth, 16 Oktober lalu. – AFP