Clijsters, Murray dapat wildcard Terbuka AS

WASHINGTON, 7 OGOS – Bekas juara Kim Clijsters dari Belgium dan Andy Murray dari Britain menerima tiket wildcard untuk kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS) 2020, lapor agensi berita Xinhua, memetik pihak penganjur kelmarin.

Clijsters, bekas pemain perseorangan wanita nombor satu dunia, mengintai peluang untuk mengulangi kehebatannya ketika beraksi di Terbuka AS 2009. Pada tahun itu menyaksikan beliau merangkul gelaran perseorangan wanita selepas berehat seketika untuk memberi tumpuan kepada keluarga.

Juara Terbuka AS tiga kali itu kemudian mengumumkan akan kembali beraksi pada awal 2020.

Sementara itu Murray, bekas pemain nombor satu dunia, memenangi gelaran pertama dari tiga gelaran Grand Slam di Terbuka AS 2012. Murray, 33, yang baru pulih selepas menjalani pembedahan pinggul, akan bertanding di Flushing Meadows untuk pertama kalinya sejak 2018. – Bernama