Clough kagum kebolehan teknikal pemain

Oleh Fadhil Yunus

BANDAR SERI BEGAWAN, 30 SEPT – Pemain import pasukan DPMM FC, Charlie Clough telah menikmati musim sulungnya bersama kelab selepas menjuarai Liga Perdana Singapura (SPL) musim lalu.

Clough mencatat sejarah selepas menjadi pemain England pertama yang memenangi kejuaraan SPL bersama pasukan DPMM FC.

“Ini merupakan pingat kejuaraan pertama dalam karier saya dan menjulang trofi di laman sendiri di hadapan 20,000 orang penonton dan ia adalah perasaan yang paling hebat bagi saya,” menurut pemain tersebut.

Pemain yang berusia 30 tahun itu menjadi pemain tonggak utama dalam kejayaan pasukan DPMM FC tahun lalu di bahagian pertahanan. Beliau membuka jaringan dalam kemenangan 2-0 ke atas pencabar kejuaraan, Tampines Rovers FC dalam perlawanan tunggal mereka tahun ini.

SPL ketika ini digantung sementara berikutan penularan pandemik COVID-19.

Aksi Charlie Clough semasa bermain untuk pasukan DPMM FC di SPL. Clough mengakui dia kagum dengan kebolehan teknikal yang dimiliki rakan sepasukan tetapi berpendapat perlawanan SPL kurang fizikal berbanding di United Kingdom. – Gambar oleh SPL

Pemain kelahiran England ini menikmati kehidupannya di negara ini selepas dia memasuki tahun keduanya bersama kelab sejak berpindah ke Asia Tenggara.

“Cuaca di Negara Brunei Darussalam sentiasa panas dan sangat aman. Ia adalah sebuah negara Islam yang sangat berpegang teguh kepada agama jadi semua orang di sini sangat mesra dan menghormati,” kata Clough dalam temu bual dengan Gloucestershire Live baru-baru ini.

Beliau berkata dia menghabiskan kebanyakan masanya dengan menjalani latihan, yang kadangkala menjalani sesi berganda pada hari-hari tertentu.

Bekas pemain Barnet ini sangat mengagumi kebolehan teknikal yang dimiliki oleh rakan sepasukannya meskipun mengakui bola sepak di sini kurang fizikal berbanding di England.

“Saya telah menyesuaikan diri dengan gaya permainan di sini dan pemain-pemain kurang fizikal berbanding di United Kingdom, tetapi dari segi teknikal mereka sangat bagus dan tangkas,” kata Clough, yang dimasukkan ke dalam Pasukan Pilihan Tahunan SPL musim lalu.

Seperti rakan sepasukannya yang lain di kelab DPMM FC, Clough telah menjalani latihan yang memfokuskan tahap kecergasan sebelum mereka dibenarkan untuk berlatih menggunakan bola selari dengan garis panduan yang telah dikaji semula berkaitan dengan sukan berpasukan.

Clough turut meluahkan harapan untuk menandatangani perjanjian baharu bagi musim 2021 semasa menunggu pasukan menyambung semula aksi kompetitif mereka.

“Saya tahu mereka sangat mengagumi saya jadi saya berharap dapat menandatangani perjanjian baharu,” jelasnya.