CMS tingkat kapasiti talian ambulans 991

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Dengan matlamat untuk menampung pertambahan panggilan-panggilan bagi perkhidmatan di bawah Perkhidmatan Kecemasan Ambulans Perubatan (EMAS), Kementerian Kesihatan memaklumkan bahawa bermula 12 September, sistem talian Ambulans 991 telah berpindah ke sistem baharu.

Menurut Kementerian Kesihatan, pemindahan ke sistem baharu berkenaan menggunakan kaedah Sistem Pengurusan Panggilan (CMS) yang dibekalkan oleh Datastream Digital (DST) Sdn Bhd, yang membolehkan operator-operator 991 untuk menerima panggilan secara sistematik, mengesan panggilan-panggilan yang diterima, pengumpulan data yang berguna serta membuat tindakan dan pengerahan kecemasan lanjut secara efisien.

Kementerian menyatakan bahawa dengan pemindahan itu juga, kapasiti penerimaan panggilan kecemasan talian Ambulans 991 akan bertambah hingga 30 panggilan bagi keempat-empat daerah pada setiap satu masa berbanding sebelumnya iaitu 15 panggilan dari tiga daerah sahaja yang mana panggilan dari Daerah Temburong akan dihalakan ke Hospital Pengiran Isteri Hajjah Mariam.

Semasa proses pemindahan itu, jika berlakunya sebarang masalah teknikal, orang ramai yang memerlukan perkhidmatan Ambulans 991 boleh membuat panggilan ke talian Bomba dan Penyelamat 995 bagi perkhidmatan kecemasan.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut dan perkembangan terkini, mereka boleh melayari laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123 dan bagi sebarang panggilan kecemasan perubatan, boleh menghubungi talian Ambulans 991 pada bila-bila masa.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar semasa mengadakan lawatan ke pusat perkhidmatan Ambulans 991 di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha.