Cockroft, Mayhugh raih emas acara olah raga

TOKYO, 5 SEPT – Hannah Cockroft dan Nick Mayhugh mencatat satu lagi kejayaan dalam acara olah raga pada hari terakhir Hari Paralimpik di Tokyo.

Cockroft dari Britain memenangi emas Paralimpik ketujuhnya sementara Mayhugh dari Amerika Syarikat (AS) mengatakan bahawa dia ingin menjadi ‘Usain Bolt Paralimpik’ setelah meraih emas ketiganya di Tokyo.

‘Hurricane Hannah’ mencatat masa 1 minit 48.99 saat pada acara T34 800 meter, mengatasi rekod Paralimpiknya sendiri di Rio hampir 12 saat.

“Saya rasa sangat terharu,” kata Cockroft ketika memenangi emas kedua Tokyo di samping tiga emas yang dimenanginya di Rio 2016 dan dua dari London 2012.

“Tidak banyak atlet yang mendapat hak istimewa untuk melakukan ini selama 10 tahun atau berdiri di podium berkali-kali.”

Mayhugh memecahkan rekod dunianya sendiri, yang hanya dibuat sehari sebelumnya, untuk meraih emas pada acara T37 200m lelaki dengan catatan masa 21.91 saat.

“Saya tahu saya tidak akan dapat lari secepat 9.5 saat untuk 100 meter, tetapi saya mahu menjadi Usain Bolt Paralimpik,” kata bekas pemain bola sepak itu, yang juga meraih emas dalam acara lari berganti 4x100m. Dia memenangi perak dalam 400m.

“Anda menetapkan had anda sendiri. Anda percaya pada diri sendiri dan anda menetapkan penghalang anda sendiri dan mengatasinya. Usain Bolt melakukan hal yang sama dengan saya. Dia adalah inspirasi terbesar saya, jadi terima kasih kepadanya.” – AFP