Cody ajak dengar lagu baharu Miley

Selepas mengumumkan hubungan cintanya dengan penyanyi Cody Simpson berakhir, penyanyi terkenal Miley Cyrus melancarkan lagu terbaharunya berjudul Midnight Sky pada Jumaat.

Memetik laporan Hollywoodlife, biarpun mereka su-dah berpisah namun Cody tetap mengucapkan tahniah dan meminta semua peminat menyokong lagu terbaharu bekas kekasihnya itu.

“Saya sangat berbangga dengan awak. Tahniah atas semua yang istimewa itu. Dapatkan lagu terbaharu dia,” kata Cody. Sebelum ini, Miley mengumumkan dia dan Cody sudah berpisah selepas 10 bulan menjalinkan hubungan cinta menerusi siaran langsung di Instagram (IG Live).

Berita perpisahan pasa-ngan itu muncul hanya 12 hari selepas Cody, 25, meluahkan rasa cinta terhadap Miley, 27, menerusi sebuah entri di Instagram miliknya.

Pasangan itu turut kelihatan bahagia dalam rakaman sebuah video TikTok yang dimuat naik pada Julai lalu. Malah, Miley dan Cody dilihat menghabiskan masa bersama sepanjang tempoh kuarantin yang dijalankan di Amerika Syarikat.

Miley dan Cody dilaporkan menjalinkan hubungan cinta pada Oktober 2019, dua bulan selepas perpisahan Miley dan bekas suaminya aktor Liam Hemsworth diumumkan.

Miley dan Liam berkahwin pada Januari 2019 sebelum berpisah pada Ogos 2019.

Meski hubungannya dengan Miley sudah berakhir, Cody tetap terus memberikan sokongan kepada kerjaya seni Miley. – Agensi