SEBANYAK sembilan keping coklat dalam sebuah bekas tin milik seorang anggota tentera yang dipercayai berusia 103 tahun telah dijual dalam satu acara lelongan baru-baru ini.
Walaupun balutan coklat tersebut kelihatan sedikit rosak, namun kisah di sebaliknya begitu bernilai kerana mempunyai sejarah tersendiri.
Hal ini kerana, coklat ‘antik’ tersebut sebenarnya milik seorang anggota tentera berpangkat Koperal iaitu Richard Bullimore yang berkhidmat sewaktu era Perang Dunia Pertama bersama Rejimen Leicestershire, England.
Mengimbas kembali sejarah, coklat daripada jenama Cadbury yang dikilangkan di Mansfields, Nottinghamshire itu telah diberi sebagai hadiah kepada pasukan tentera yang berkhidmat dalam peperangan di Perancis sempena sambutan Krismas.
Satu abad
Salah seorang penerimanya ialah Korperal Bullimore.


Dikenali sebagai individu yang tidak gemarkan makanan manis, Bullimore hanya memakan satu daripada 10 bar coklat yang diberikan kepadanya sebelum lebihannya disimpan.
Selepas lebih satu abad, coklat tersebut kemudian dijual bersama beberapa barangan antik lain dalam acara lelongan yang dibuat secara dalam talian baru-baru ini.
Dijangkakan bahawa coklat-coklat tersebut bakal dijual pada harga lebih daripada £3,000.
“Walaupun keadaan bekas tin menyimpan coklat itu benar-benar telah kelihatan uzur, coklat yang disimpan di dalamnya masih kelihatan elok dan tidak terusik,” ujar wakil jurucakap syarikat lelongan Scunthorpe Eddisons CJM, Paul Cooper kepada agensi berita British Broadcasting Corporation.
Menurut Cooper, pihaknya berasa gembira, malah tidak menyangka apabila coklat tersebut mendapat liputan meluas dalam kalangan pemberita dan pengguna laman sosial yang berebut-rebut ingin mendapatkannya.
Selain menerima coklat, Bullimore turut mendapat hadiah berupa kotak rokok jenama Princess Mary yang mengandungi rokok, tembakau dan mancis.
Kesemua barang-barang tersebut masih kelihatan elok, kecuali tiga batang rokok didapati telah hilang.
Antara barangan lain yang turut dijual dalam acara lelongan tersebut ialah koleksi pingat Perang Dunia Pertama, surat dan pemetik api yang setiap satunya dijangka mampu dijual pada harga lebih £2,000.
Pahlawan
Selain itu, terdapat beberapa pingat Kelakuan Cemerlang atas keberanian tentera dalam pertempuran di Ypres Salient, Belgium yang dikurniakan pada Julai 1915 kepada Bullimore.
Pingat tersebut diberikan kepadanya serta tiga anggota tentera lain selepas pasukannya berjaya menyerang pasukan tentera Jerman menggunakan bom angan sehingga memaksa pihak musuh berundur akhirnya.
Bagaimanapun, kejadian tersebut telah menyebabkan tiga orang anggota di bawah jagaannya cedera, namun berjaya dibawa pulang ke markas untuk mendapatkan rawatan.
Pada bulan Oktober 1916, Bullimore terpaksa dihantar pulang ke England selepas dia mengalami kecederaan parah akibat terkena serpihan bom dan telah dianugerahkan dengan pingat Perkhidmatan Meritorious.
Selepas sembuh daripada kecederaan, Bullimore kemudian telah menyertai pasukan polis Leicestershire dengan menjawat jawatan sebagai superintenden.
Bullimore yang diangkat sebagai pahlawan berjasa itu meninggal dunia pada Januari 1967 akibat sakit tua.
Sebanyak sembilan keping coklat ‘antik’ milik seorang anggota tentera England berjaya dilelong acara lelongan tersebut. – Agensi

































