COKLAT yang dihasilkan daripada biji koko mempunyai dua jenis sahaja iaitu coklat gelap dan juga coklat susu.
Begitu pun, kira-kira 80 tahun lalu, syarikat Nestle memperkenalkan coklat putih. Ia kemudian menjadi coklat jenis ketiga yang boleh didapati di dunia.
Selepas coklat putih, kini satu lagi produk baharu daripada rona merah jambu mula diperkenalkan kepada dunia, menjadikannya jenis keempat.
Dihasilkan oleh syarikat coklat terkemuka dunia, Barry Callebaut, ia dipanggil coklat rubi.
Selain warna semula jadinya yang cantik, coklat rubi juga dikatakan mempunyai rasa cukup berbeza daripada yang lain.

Ketua Inovasi dan Kualiti Barry Callebaut, Peter Boone dalam satu panggilan telefon kepada agensi berita Bloomberg memberitahu, coklat merah jambu itu mempunyai rasa buah beri semula jadi, menjadikan ia unik dan amat enak.
Serbuk merah jambu
“Kami tidak meletakkan perisa tambahan kepada produk ini, rasa beri yang terhasil adalah rasa sebenar biji koko coklat rubi itu.
“Semasa diproses, biji koko itu mengeluarkan sejenis serbuk berwarna merah jambu, menjadikan ia cukup unik dan luar biasa,” ujarnya.
Biji rubi itu berasal dari beberapa lokasi berlainan iaitu Ecuador, Brazil dan Ivory Coast.
Begitu pun, ia bukanlah satu penemuan baharu memandangkan kewujudannya sudah lama diketahui. Barry Callebaut mula-mula mengkaji kemungkinan untuk menghasilkan coklat berwarna merah jambu kira-kira 13 tahun lalu.
Boone berkata, syarikat itu yang berpangkalan di Switzerland sudah bekerjasama dengan Universiti Jacobs yang merupakan sebuah institusi pengajian tinggi swasta di Jerman untuk menjalankan kajian terhadap biji koko rubi itu untuk mengetahui sifatnya yang memberikan rasa serta warna unik.
“Kami mahu mengkaji kandungan kimia yang terdapat dalam biji koko hingga ia menghasilkan rasa buah beri,” katanya.
Boone bagaimanapun enggan menjelaskan kaedah yang digunakan untuk memproses biji koko itu hingga menjadi coklat yang enak.
Ujarnya lagi, selepas memperkenalkan coklat baharu itu kepada negara seperti China, Jepun, Amerika Syarikat dan United Kingdom dalam satu acara, ia dengan serta-merta berjaya menarik minat negara-negara tersebut untuk mula memproses coklat rubi itu terutamanya China.
“Orang-orang di China berpendapat, warna merah jambu amat cantik dan merupakan tarikan utama bagi memasarkan coklat tersebut,” ujarnya.
Biarpun mendapat sambutan menggalakkan, Boone menjelaskan bahawa rasa buah beri pada coklat rubi itu mungkin tidak boleh diterima.
“Bukan semua individu sukakan rasa manis dan masam pada coklat rubi. Bagi penggemar coklat sejati, mereka mungkin masih gemarkan rasa asli coklat yang pekat dan pahit.
“Namun, penemuan ini tetap sesuatu yang menarik memandangkan tiada siapa menyangka biji koko mampu mengeluarkan rasa buah-buahan,” ujarnya.