Friday, April 26, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Coldplay bantu usaha kebersihan sungai

    Sebelum menetapkan tarikh mementaskan konsert di Malaysia, kumpulan rock popular dari Britain, Coldplay pernah menaja jentera perangkap sampah sungai, Interceptor 005 di Sungai Klang tahun lalu.

    Ia susulan Coldplay mengumumkan kolaborasi bersama pertubuhan tidak berasaskan keuntungan dari Belanda, The Ocean Cleanup dalam usaha mencegah sampah dan pencemaran daripada masuk ke laut.

    Kumpulan dianggotai oleh Chris Martin, Johnny Buckland, Guy Berryman dan Will Champion itu dilaporkan menyumbang sebanyak AS$777,000 bagi jentera berkenaan.

    Ia merupakan Interceptor kedua beroperasi di Malaysia selepas Interceptor 002 beroperasi di Sungai Klang pada Ogos 2019.

    Memetik kenyataan dikeluarkan, tahun lalu, Coldplay berpendapat sekiranya tiada usaha pencegahan dilakukan, sungai akan terus tercemar menjelang 2050.

    Coldplay pernah menaja jentera perangkap sampah sungai, Interceptor 005 di Sungai Klang tahun lalu. – Agensi

    “Jika tiada tindakan, mungkin akan lebih banyak plastik daripada ikan di laut pada 2050. Disebabkan itu, kerja The Ocean Cleanup sangat penting.

    “Kami bangga menaja Interceptor 005 yang akan memerangkap ribuan tan sampah sungai sebelum sampai ke laut,” katanya.

    Pada ketika itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif The Ocean Cleanup, Boyan Slat, berkata Malaysia adalah negara pertama akan menerima Interceptor 005 dan ia dibina pada kemudahan MHE-Demag di Klang, Selangor dengan kerjasama firma Finland, Konecranes.

    Interceptor adalah teknologi inisiatif The Ocean Cleanup yang mampu memerangkap hingga 100 tan sampah yang terapung dan dibuang ke dalam sungai sebelum sampai ke laut.

    Menurut Slat, sisa plastik dari sungai akan dibawa arus sehingga ke tempat pusaran sampah di tengah lautan, yang mana sampah sarap akan terkumpul dalam arus berputar selama bertahun-tahun.

    “Kekurangan tindakan untuk mencegah pencemaran akan meningkatkan kesan buruk terhadap ekosistem, kesihatan dan ekonomi,” ujarnya.

    Sejak 2019, The Ocean Cleanup mengumumkan inisiatif Interceptor untuk saluran air tercemar di pelbagai negara seluruh dunia termasuk Indonesia, Republik Dominica, Vietnam, Amerika Syarikat, Jamaica dan Thailand.

    Sementara itu, Coldplay bakal mementaskan konsert dalam siri jelajah, Music Of The Spheres World Tour (MOTSWT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 22 November depan.

    Berikutan itu, tajaan dipercayai membuatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan kedatangan mereka ke Malaysia.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...