MONTEVIDEO, 11 OKT – Kepulangan Neymar tidak dapat memberi inspirasi buat Brazil mencipta kemenangan apabila tuan rumah, Colombia menamatkan permulaan sempurna mereka pada kelayakan Piala Dunia Zon Amerika Selatan dengan keputusan 0-0 di Barraquilla, semalam.
Skuad Selecao menang semua sembilan perlawanan awal kelayakan, dengan menjaringkan 22 gol dan mengetuai carta kedudukan Amerika Selatan dengan kelebihan lapan mata sebelum sepak mula.
Skuad kendalian Tite itu hampir pasti layak ke pusingan akhir di Qatar tahun depan apabila mengekalkan jurang 13 mata berbanding pasukan tangga kelima, Colombia dengan empat pasukan teratas layak secara automatik.
Juara Copa America, Argentina pula boleh mengurangkan jurang kepada enam mata ke atas Brazil jika mereka menewaskan Uruguay pada perlawanan selepas itu.
Brazil bermula baik dan mendominasi pada suku pertama perlawanan apabila Neymar menyepak kencang bagi memaksa David Ospina menepisnya berdekatan penjuru gawang.
Lucas Paqueta kemudian mencuba kehebatan penjaga gol itu sekali lagi dari jarak jauh yang sepatutnya mampu meletakkan pasukan pelawat di depan.
Hantaran Neymar memberikan peluang buat Paqueta berdepan satu lawan satu dengan Ospina tetapi bola tersasar.
Colombia bergelut untuk mencipta peluang dan aksi terbaik mereka pada separuh masa pertama menjelma melalui situasi bola mati.
Sepakan percuma melencong Juan Quintero gagal menemui sasaran manakala hantaran lintang yang dilakukannya ditanduk tinggi oleh Yerry Mina.
Colombia berusaha sedaya upaya untuk memberi ancaman pada separuh masa kedua namun penjaga gol Brazil, Alisson berjaya menepis rembatan Mateus Uribe.
“Neymar bermain dengan baik selaku ketua pasukan,” kata Tite yang mengakui bahawa Colombia mempunyai kelebihan teknikal berkualiti berbanding pasukan lain. – AFP