Colombia lindungi aktivis hak asasi

BOGOTA, 11 Julai – Presiden Colombia Juan Manuel Santos semalam mengumumkan mengenai langkah baharu bagi melindungi para aktivis hak asasi kemanusiaan, seminggu selepas penyiasat mendedahkan mengenai statik pembunuhan yang mengejutkan.

Lebih daripada 300 aktivis hak asasi telah dibunuh sejak awal tahun ini, dengan purata seorang dibunuh setiap tiga hari.

“Kami benar-benar mengutuk dan menentang pembunuhan ini. Kami tidak akan berhenti sehingga kami menangkap dan menghukum mereka yang bertanggungjawab ke atas jenayah kejam itu,” kata Santos pada akhir mesyuarat majlis keselamatan di kediaman presiden di Bogota.

Santos juga mengumumkan satu sistem ganjaran berhubung maklumat yang boleh membawa kepada pengenalpastian dalang yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan itu.

Insentif kewangan itu ‘akan dapat membantu pengenalpastian dalang utama di sebalik jenayah berkenaan,” katanya tanpa memberikan maklumat lanjut.

Santos berkata perlindungan ke atas aktivis hak asasi akan menjadi keutamaan kepada kerajaannya sebelum dia berundur diri pada 7 Ogos depan.

Minggu lalu, penyiasat Carlos Alfonso Negret berkata kebanyakan pembunuhan dilakukan di kawasan bebas undang-undang yang digunakan bagi penyeludupan dadah dan perlombongan haram, namun tidak memberitahu dalang yang bertanggungjawab.

Beberapa aktivis berhaluan kanan dan ahli politik telah menyalahkan polis dan paramilitari berhaluan kanan, dengan menuduh mereka melakukan pembunuhan di luar bidang kehakiman terhadap bekas gerila FARC.

Colombia bergelut untuk mengakhiri konflik bersenjata terakhir di Amerika Selatan ke atas Tentera Pembebasan Kebangsaan (ELN). – AFP