Friday, April 19, 2024
24 C
Brunei

    -

    Comic-Con kembali meriah

    SAN DIEGO – Budaya pop ekstravaganza, Comic-Con International telah kembali dengan kemeriahan lamanya. Para artis, cosplayer dan gerombolan peminat memenuhi Pusat Konvensyen San Diego buat kali pertama sejak 2019. Berikut adalah versi festival yang diadakan selama empat hari tahun ini.

    Pandemik itu telah mendorong perlaksanaan Comic-Con secara maya pada musim panas 2020 dan 2021, dan versi bersendirian yang diperkecilkan pada bulan November, tetapi tidak ada yang serupa dengan tontonan seperti biasa, dengan para peminat datang dari seluruh dunia dan panel bersaiz arena memainkan filem dan rancangan TV yang menyerupai acara sukan.

    Tidak jelas sama ada konvensyen itu akan menarik kira-kira 135,000 orang yang membanjiri San Diego sebelum wabak itu. Tetapi beribu-ribu peminat datang beramai-ramai pada Khamis lalu pada hari pertama konvensyen itu. Seperti yang diharapkan, hampir semua memakai pelitup muka, bukan topeng cosplay walaupun terdapat banyak pada ketika itu dan keterujaan di tengah-tengah orang ramai turut dapat dirasai.

    “Semua orang terkurung untuk seketika, dan mereka telah menjangkakan ini,” kata penduduk Minneapolis, Dinh Truong, 34, yang datang ke Comic-Con untuk kali kedua dan menghadiri malam pratonton Rabu.

    “Seronok melihat semua orang dalam suasana yang sama. Saya teruja melihat program ini, melihat apa yang sedang berlaku, melihat semua orang memakai cosplay dan semua itu kembali kepada keadaan dahulu.”

    Seorang pengunjung Comic-Con melihat patung berskala kecil watak filem Rocky Balboa dan Apollo Creed daripada francais filem Rocky. – AP
    Jay Acey (kanan) berpakaian seperti A-Train daripada siri televisyen The Boys, menghiburkan Maddox Cruz di luar Malam Pratonton di Comic-Con International 2022 di Pusat Konvensyen San Diego. – AP
    Para pengunjung Comic-Con mengunjungi petak pameran konvensyen semasa Malam Pratonton di 2022 Comic-Con International. – AP
    Leslie Acosta bergambar bersama watak Patrick Star dari siri televisyen animasi SpongeBob Squarepants. – AP

    Para pengunjung Comic-Con berjalan melewati model bersaiz sebenar makhluk daripada francais filem Alien semasa Malam Pratonton di 2022 Comic-Con International. – AP

    Kemungkinan tiada siapa yang terlepas konvensyen secara bersemuka lebih daripada para pempamer cosplay. Comic-Con merupakan Met Gala mereka, dan tiada gaya yang terlalu rumit. Lorelei McKelvey, 54, yang berasal dari San Diego tetapi kini menetap di Yokosuka, Jepun, berpakaian seperti Captain Carter, rakan sejawatan Captain America semasa era Perang Dunia Kedua.

    “Saya terpaksa melakukan sesuatu yang boleh saya tiru secara sah,” kata McKelvey. “Saya pergi dan membuat penyelidikan serta mengetahui apakah warna kulit pakaian pegawai British yang dipakai semasa Perang Dunia Kedua, dan saya menjumpai pengilang yang benar-benar membuat kulit tersebut.”

    Dia berjalan di Pusat Konvensyen dengan memakai sepasang kasut yang benar-benar sama dengan seorang pegawai dan sarung tangan Tentera Udara Diraja, sambil membawa perisai keluli seberat lima paun. McKelvey datang ke Comic-Con dan bekerja di gerai selama 20 tahun berturut-turut. Ini adalah kali pertama dia datang sebagai cosplayer, dan dia teruja bertemu semula dengan rakan-rakan yang dihargai di sini.

    “Konvensyen terakhir saya ialah ketika kali pertama mereka melihat saya sebagai Lorelei,” kata McKelvey. “Ini adalah kali pertama mereka melihat saya selepas empat tahun dan melihat sejauh mana saya telah berkembang sejak itu.”

    Para cosplayer lain berkeliaran di dewan sebagai Stormtroopers Star Wars, Mandalorian, Wonder Woman, Thor, Sailor Moon dan watak Chuckie dari Child’s Play muncul dari perut seorang cosplayer.

    Comic-Con biasanya dijadikan sebagai tempat untuk mempamerkan treler dan rakaman daripada filem dan rancangan TV akan datang di panel mega yang diadakan di Hall H, yang memuatkan kira-kira 6,000 orang. Panel yang diumumkan kali ini termasuk daripada Warner Bros dan DC Universe Black Adam. Filem berkenaan menampilkan Dwayne ‘The Rock’ Johnson yang memainkan watak antihero, pengarah Jaume Collet-Serra, dan bintang yang memainkan watak Hawkman, Dr. Fate, dan ahli lain daripada Justice Society.

    “Bersedialah, kerana sesuatu yang menarik menanti awda,” kata Johnson semasa mempromosikan filem di Instagram awal bulan ini.

    “Teka siapa yang akan datang, lelaki yang paling menggembirakan di seluruh DC Universe.”

    Warner Bros juga akan menyediakan pratonton Shazam: Fury of the Gods. Marvel mungkin menyimpan hasil terbaiknya untuk Ekspo D23 Disney yang akan datang, tetapi dijangka akan menampilkan filem seterusnya, Black Panther: Wakanda Forever dan siri TV Disney+ She-Hulk: Attorney at Law.

    Sepasang prekuel fantasi yang dinanti-nantikan juga akan memberikan peminat rasa dunia mereka.

    Treler baharu dikeluarkan pada hari Rabu lalu iaitu panel daripada HBO Max yang akan mempamerkan spinoff Game of Thrones, House of the Dragon, yang ditetapkan 200 tahun sebelum siri asal.

    Amazon akan kembali ke masa 2000 tahun untuk The Lord of the Rings: The Rings of Power, kisah kemunculan kejahatan di kalangan bunian lama sebelum perjalanan Frodo dan Bilbo di Middle Earth. Panel mereka tahun ini muncul 21 tahun selepas pengarah Peter Jackson mempersembahkan rakaman daripada filem asal pertama di Comic-Con. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Polis Australia selesaikan misteri kokain hanyut

    SYDNEY, 18 APRIL - Polis Australia telah menahan seorang lelaki didakwa menjadi dalang di sebalik komplot penyeludupan dadah yang gagal, mengakibatkan batu-bata kokain misteri...