Community for Brunei kumpul lebih $27,000

BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OKTCommunity for Brunei, yang merupakan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), telah berjaya mengumpulkan sumbangan berjumlah lebih $27,000 yang disalurkan untuk menyokong pe-tugas barisan hadapan dan mereka yang terkesan akibat COVID-19.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan BIBD, platform Community for Brunei telah diperbaharui baru-baru ini dengan fungsi tambahan yang membolehkan orang awam menghulurkan sumbangan secara langsung kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan menyokong inisiatif membantu masyarakat.

Setakat ini, sebanyak 47 NGO telah disenaraikan di bawah platform dalam talian itu dan 31 inisiatif dilaksanakan.

Ketua Pegawai Pemasaran BIBD, Hajah Nurul Akmar binti Haji Mohd Jaafar dipetik berkata, “Community for Brunei semasa kemuncak gelombang pertama penularan pada 2020 sebagai cara untuk memberi sokongan kepada perusahaan-perusahaan mikro yang terkesan oleh COVID-19.

“Alhamdulillah, kami telah dapat mengembangkan platform kami untuk menyediakan cara kepada orang awam menyumbangkan tenaga dan wang tunai kepada NGO sementara mengekalkan tempat jualan maya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS),” tambah beliau.

Kenyataan menyatakan, Community for Brunei baru-baru ini telah bekerjasama dengan Brunei Opthamology Society bagi tempahan pelitup muka Oyen menerusi platform berkenaan.

Selain itu, Community for Brunei juga bekerjasama dengan FERA Nursing & Healthcare yang menjalankan kempen sumbangan untuk membeli pelindung muka dan scrub bagi petugas barisan hadapan di hospital-hospital negara ini serta bersama The Impian Project dalam mengumpulkan dana untuk membekalkan pelitup muka dan pensanitasi tangan bagi keluarga yang kurang berkemampuan dan berkeperluan khas.

Community for Brunei juga merupakan penyokong lama SCOT menerusi banyak projek sosial dan telah menjalankan beberapa inisiatif impak sosial lain seperti MKM, Projek INFAQ dan Community Pantry Brunei Detox Bar.

Community Pantry Brunei Detox Bar antara inisiatif yang dijalankan menerusi Community for Brunei. – Gambar serahan BIBD