Concepts computer penuhi permintaan

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 APRIL – Berikutan peningkatan budaya pembelajaran dalam talian atau e-Pembelajaran dan kerja dari rumah akibat pandemik COVID-19, permintaan bagi komputer khususnya komputer riba di negara ini semakin meningkat.

Sehubungan dengan itu, Syarikat Concepts Computer menawarkan pelbagai barisan komputer riba jenama ACER pada harga menarik di mana beberapa model baharu turut dilengkapi dengan pemproses terkini Intel Generasi ke-10.

Di samping itu, mereka juga menawarkan model komputer riba dengan harga mampu milik yang mengetengahkan spesifikasi mencukupi bagi sektor pendidikan dan sesuai untuk e-Pembelajaran, jelas Pengurus Besar Concepts Computer, Vincent Pao.

Beliau turut menyatakan bahawa syarikatnya akan sedaya upaya untuk memenuhi keperluan masyarakat Brunei dan dengan peningkatan keperluan komputer di rumah, syarikatnya juga berharap dapat memenuhi seberapa keperluan penduduk Brunei dengan komputer riba.

Pada masa yang sama, syarikatnya juga akan membantu dengan menawarkan pelbagai produk menarik pada harga yang berpatutan.

Concepts Computer juga menyatakan bahawa syarikat itu akan menerima sebanyak lebih 2,000 unit komputer riba jenama ACER esok yang dihasratkan dapat memenuhi permintaan dan keperluan orang ramai bagi kegunaan dalam e-Pembelajaran dan tugasan di rumah.

Eksekutif Pemasaran Concepts Computer, Awang Zul Abdul Rahman menyatakan, mereka memahami bahawa terdapat keluarga yang mempunyai dua atau tiga orang anak yang memerlukan komputer bagi pembelajaran mereka dan perlu untuk membelanjakan jumlah yang agak banyak untuk memenuhi keperluan itu, oleh itu, Concepts Computer menawarkan komputer riba yang mempunyai spesifikasi yang mencukupi dengan harga yang mampu milik.

Pada masa yang sama, mereka turut menawarkan pelbagai peranti yang diperlukan termasuk pencetak Epson L3150 yang berkemampuan untuk mencetak sehingga 10,000 muka surat.

Awang Zul (tengah) menyatakan bahawa pelbagai model komputer riba jenama Acer boleh didapatkan oleh orang ramai di Concepts Computer.