Concepts perkenal barisan produk e-sukan berkualiti

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 25 OGOS – Dengan sukan elektronik, Esports atau e-sukan menjadi semakin popular, terutama setelah kemasukan acara sukan tersebut semasa Sukan SEA 2019 di Republik Filipina, jumlah golongan belia yang ingin mengambil bahagian dalam sukan tersebut semakin meningkat.

Sehubungan dengan itu, sebagai usaha untuk membantu para ibu bapa mendapatkan pilihan peralatan bagi sukan elektronik yang lebih mampu untuk dimiliki bagi melahirkan generasi atlet sukan elektronik yang berpotensi bagi Negara Brunei Darussalam, Concepts Computer memperkenalkan barisan produk bagi e-sukan keluaran XTRIKE ME, di syarikatnya di Kiulap, hari ini.

Barisan produk XTRIKE ME meliputi pelbagai peralatan permainan elektronik yang berkualiti seperti tetikus, papan kekunci dan alat pendengar serta juga memberikan pilihan kepada mereka yang berjinak-jinak memasuki bidang sukan itu dengan peralatan yang berkualiti serta mampu milik.

Pengurus besar syarikat itu, Vincent Pao menyatakan bahawa Concepts bukan sahaja menawarkan produk IT yang berkualiti dengan harga yang mampu milik tetapi juga mempunyai perkhidmatan lepas jualan yang berkualiti.

Mengulas mengenai barisan produk XTRIKE ME, beliau menyatakan bahawa respons daripada pelanggan bagi produk tersebut amat menggalakkan di mana kira-kira 20 peratus stok barangan sudah dijual sebelum dilancarkan.

Sementara itu, Eksekutif Pemasarannya, Awang Zul Abdul Rahman menyatakan, bagi ahli XTRIKE ME, mereka boleh menikmati diskaun sebanyak 30 peratus bagi pembelian produk-produk XTRIKE ME.

Semasa pelancaran produk itu, Concepts menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus bagi semua barisan produk XTRIKE ME bermula hari ini hingga hujung September.

Concepts Computer memperkenalkan produk e-sukan keluaran XTRIKE ME. – Gambar oleh Muiz Matdani