Concepts rai ulang tahun ke-20

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 DIS – Concepts Computer telah menyambut ulang tahunnya yang ke-20 dengan majlis sambutan yang diadakan di Brilliance Hall, Bangunan Habza, kelmarin.

Atas usaha dan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak sepanjang tempoh 20 tahun, Concepts Computer berjaya menjadi syarikat ICT terkemuka di negara.

Pengurus Besar Concepts Group, Vincent Pao dalam ucapannya berkata, “Pengalaman yang tidak ternilai selama 20 tahun, bermula di ruangan kecil pada 1999 dengan hanya empat orang kakitangan kini, telah berjaya berkembang menjadi Concepts Group yang merangkumi Concepts Computer, Concepts Technologies, Blister Technologies dan Ontime Service Network.

Beliau seterusnya menambah, pada masa ini Concepts mempunyai 42 orang kakitangan di mana 90 peratus adalah anak tempatan yang mana Concepts menyediakan platform untuk memupuk dan menggalakkan pembangunan ke arah masa depan yang cerah untuk individu dan juga syarikat.

“Di samping itu, syarikat kami juga menjadi contoh dalam kalangan organisasi terkemuka di negara ini untuk mewujudkan pekerjaan yang berkualiti kepada penduduk tempatan selaras dengan Wawasan Brunei 2035,” tambahnya.

Majlis sambutan diserikan dengan acara memotong kek seterusnya penyampaian anugerah khidmat lama kepada kakitangan.

Majlis diserikan dengan acara memotong kek ulang tahun ke-20 Concepts.