Condor terima bantuan 550 juta euro

FRANKFURT AM MAIN 27 APRIL – Syarikat penerbangan Condor berkata hari ini ia akan menerima 550 juta euro dalam pinjaman daripada kerajaan Jerman dan kerajaan Hesse untuk membantunya kekal beroperasi ketika krisis koronavirus.

Bantuan itu terdiri daripada pinjaman berjumlah 294 juta euro ‘sebagai bantuan korona’ serta 256 juta euro untuk membiayai semula pinjaman penyambung kerajaan sebelum ini, kata Condor dalam satu kenyataan.

Menteri Ekonomi Jerman Peter Altmaier berkata pihak berkuasa akan menyokong Condor ‘menghadapi masa yang sukar ini.’

“Syarikat adalah sihat dari segi operasi dan menguntungkan pada masa biasa dan mempunyai prospek baik pada masa depan,” kata beliau dalam kenyataan.

Pinjaman itu akan dikeluarkan menerusi bank pelaburan awam KfW di Jerman.

Condor, yang menggaji kira-kira 4,900 pekerja, telah menghadapi masalah sejak syarikat induk Thomas Cook jatuh muflis pada tahun lalu.

“Pinjaman 50 juta euro ini akan membenarkan Jerman membayar pampasan kepada Condor, beroperasi dalam sektor penerbangan yang terjejas teruk, sebahagiannya untuk masalah yang dialami disebabkan wabak koronavirus,” kata pesuruhjaya persaingan EU Margrethe Vestager. – AFP

Condor akan menerima pinjaman 550 juta euro daripada kerajaan Jerman dan Hesse untuk membantunya terus beroperasi ketika krisis koronavirus. – Agensi