KINSHASA, 23 OGOS – Republik Demokratik Congo telah mengesahkan kes baharu Ebola di timur yang dilanda keganasan, kata kementerian kesihatan negara itu, hanya beberapa minggu selepas berakhirnya wabak sebelumnya.
Negara itu pada awal bulan lalu mengisytiharkan wabak Ebola telah berakhir selepas lebih dua bulan kemunculan semula virus itu di wilayah barat laut Equateur.
Bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) minggu lalu berkata Republik Demokratik Congo sedang menyiasat satu kes yang disyaki.
Sampel yang diambil daripada seorang wanita berusia 46 tahun yang meninggal dunia pada 15 Ogos lalu di bandar Beni, wilayah Kivu Utara, disahkan diuji positif dijangkiti Ebola, kata kementerian kesihatan dalam satu kenyataan yang diterbitkan lewat kelmarin.
Kenyataan tersebut menambah bahawa ujian menunjukkan kes itu dikaitkan dengan varian virus sebelumnya dari 2018 dan bukan varian baharu.
Kementerian tersebut berusaha untuk meyakinkan orang ramai bahawa pegawai tempatan bekerja keras di lapangan dalam respons terhadap situasi itu. Kira-kira 160 orang telah dikenal pasti sebagai kontak terdekat, tambahnya.
Penularan kepada manusia adalah melalui cecair badan, simptom utama termasuk demam, muntah, pendarahan dan cirit-birit. – AFP