Congo isytihar epidemik meningitis

KINSHASA, 8 SEPT – Satu epidemik meningitis telah diisytiharkan di timur laut Republik Demokratik Condo (DR Congo), di mana 129 orang telah terbunuh, kata Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) hari ini.

Sejumlah 261 kes telah dicatat setakat ini, bersamaan dengan ‘nisbah kes kematian tinggi sebanyak 50 peratus,’ kata WHO cabang Afrika dalam satu kenyataan.

“Ujian sah yang dijalankan oleh Institut Pasteur di Paris mengesan meningitidis Neisseria – salah satu jenis meningitis bakteria paling kerap berlaku dengan potensi mencetuskan epidemik besar,” katanya.

Meningitis ialah jangkitan selaput yang mengelilingi otak dan saraf tunjang, merebak menerusi titisan air pernafasan atau bendalir kerongkong daripada mereka yang dijangkiti.

Penyakit itu berpotensi membawa maut dan tanpa rawatan boleh menyebabkan kerosakan saraf, terutamanya pekak dan kerencatan mental di kalangan kanak-kanak.

Enam jenis bakteria N. Meningitidis telah dikenalpasti mencetuskan epidemik. Bagaimanapun, gejala awal penyakit – sakit kepala dan demam – mungkin sukar dikesan kerana mereka mempunyai persamaan dengan penyakit biasa lain.

Pusat wabak terletak di Banalia, di wilayah Tshopo.

Pegawai kesihatan di DR Congo telah menghantar pasukan kecemasan ke sana dan WHO sedang membawa masuk ubat dan pakar tambahan, menurut kenyataan. – AFP