ConocoPhilips sahkan pelantar tenggelam di luar pesisir Miri

KUCHING, 4 MEI – ConocoPhilips Sarawak Ltd, syarikat penerokaan minyak dan gas multinasional hari ini mengesahkan pelantar penggerudian yang dicarternya, NAGA 7, telah ditenggelam pada Isnin lepas di luar pesisir Sarawak, dekat Miri, kira-kira 840 kilometer utara dari sini.

Kejadian itu berlaku 2:45 petang ketika pelantar berkenaan berada di Salam-3, kira-kira 260km di luar pesisir Miri dan Pasukan Tindak Balas Kecemasan syarikat telah digerakkan dengan segera setelah semua petugas diarahkan meninggalkannya.

“Kami mengesahkan bahawa semua orang yang berada di atas pelantar telah dipindahkan dari NAGA 7 tanpa sebarang kecederaan,” menurutnya dalam satu kenyataan.

Setakat 7:45 pagi hari ini, NAGA 7 telah tenggelam. Sementara itu, maklumat yang diperoleh dari laman Facebook Seafarer Life memaklumkan 101 petugas berada di atas pelantar ketika kejadian dan dua kapal, Perdana Marathon dan Armada Tuah 305 telah menyelamatkan mereka. – Bernama