Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Constantine II selamat dikebumikan

    ATHENS, 16 JAN – Ribuan warga Greece dan kerabat diraja Eropah telah berkumpul di Athens kelmarin untuk menghadiri upacara pengebumian raja terakhir Greece, Constantine II, yang mangkat minggu lalu pada usia 82 tahun.

    Kerabat diraja dari Britain, Denmark, Luxembourg, Monaco, Belanda, Norway dan Sepanyol terbang untuk upacara berkenaan, yang telah menimbulkan kontroversi.

    Constantine adalah tokoh yang memecah-belahkan dalam sejarah negara berkenaan dan kerajaan mendapat kritikan daripada golongan konservatif selepas memutuskan untuk tidak memberikannya penghormatan pengebumian negara.

    Bekas perdana menteri, Antonis Samaras adalah antara yang berkata Constantine, bekas pemenang pingat emas Olimpik untuk Greece, layak dikebumikan sebagai bekas ketua negara.

    Sejak awal pagi kelmarin, sekurang-kurangnya 2,000 orang menurut televisyen negara, ERT telah beratur di luar Katedral Metropolitan Athens untuk memberi penghormatan.

    Tetamu kehormat menghadiri upacara pengebumian bekas raja Greece, Constantine II di Katedral Metropolitan di Athens. – AP

    Segelintir orang dilihat menggenggam bendera era diraja, bunga dan potret bekas raja dan isterinya, puteri Denmark, Anne-Marie. Ramai yang tunduk dan mencium keranda yang ditutup dengan bendera Greece.

    “Beliau seorang yang mulia, seorang lelaki yang baik dan tidak pernah mencederakan Greece,” kata pesara, Fotis Stamatiou, 85, kepada AFP.

    “Kami berada di sini untuk memberi penghormatan kepada raja kami. Kami sayangkan dia,” tambah rakan pesara, Arietta Papadaki.

    Perkhidmatan peribadi yang dirasmikan oleh Ketua Paderi, Ieronymos, ketua gereja Ortodoks Greece, bermula sejurus selepas tengah hari dengan hampir 200 tetamu hadir.

    Seluruh keluarga diraja Sepanyol, Permaisuri Denmark, Margrethe II dan Putera Mahkota, Frederik, keluarga diraja Sweden, raja dan permaisuri Belanda, Grand Duke Luxembourg, Henri, Putera Mahkota Norway, Haakon, dan Putera Monaco, Albert II telah hadir.

    Keluarga diraja British diwakili oleh Puteri Anne, anak perempuan mendiang ratu Elizabeth II.

    Perdana Menteri Greece, Kyriakos Mitsotakis dan Presiden, Katerina Sakellaropoulou tidak menghadiri pengebumian itu, dengan kerajaan diwakili oleh Timbalan Perdana Menteri, Panagiotis Pikrammenos dan Menteri Kebudayaan dan Sukan, Lina Mendoni. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...