LONDON, 4 JAN – Antonio Conte telah memberi amaran kepada Tottenham yang dia akan berhenti jika dia tidak lagi menikmati cabaran untuk menjadikan kelab tersebut sebagai pesaing yang serius untuk trofi utama.
Conte telah memenangi beberapa kejuaraan liga domestik bersama Inter Milan, Chelsea dan Juventus.
Pengendali berusia 53 tahun itu telah memimpin Tottenham dengan mengagumkan kepada kedudukan keempat dalam Liga Inggeris pada musim lalu, satu pencapaian yang disifatkan sebagai sebuah ‘keajaiban’ setelah dia menyertai pasukan tersebut ketika ia bergolak pada penghujung 2021.
Tetapi Conte berulang kali menyatakan tentang perlunya untuk bersabar ketika dia mencuba untuk membina asas untuk kekal sukses di dalam kelab yang kali terakhir memenangi trofi pada tahun 2008.
Prestasi Tottenham yang tidak konsisten pada musim ini telah menimbulkan kebimbangan jika pengurus Itali itu mungkin tidak akan bertahan jika dia tidak mendapat sokongan yang dimahukannya daripada pengerusi kelab, Daniel Levy untuk menambah baik skuadnya dalam pasaran perpindahan.
Berucap ketika perlawanan hari ini menentang Crystal Palace, Conte, yang akan kontraknya bakal berakhir pada penghujung musim, menjelaskan bahawa dia faham akan tugas yang dipikulnya di Tottenham.
“Jika awda bertanya kepada saya: ‘Cabaran untuk saya adalah untuk memenangi Liga Inggeris, memenangi Liga Juara-Juara, ini bukanlah tugas utama saya pada masa ini.
“Tugas saya adalah untuk membantu kelab yang saya temui.
“Saya menandatangani kontrak pada November 2021 apabila saya mendapati kelab ini di dalam kedudukan yang mencabar atas beberapa sebab.”
“Sekarang tugas saya, yang saya sangat fahami, adalah untuk membantu kelab ini menuju ke arah yang betul,” katanya.– AFP