Conte mampu realisasikan impian Inter

COLOGNE, 21 OGOS – Antonio Conte tidak gemar disamakan dengan Jose Mourinho disebabkan oleh pertelagahan antara mereka berdua, tetapi buat kali pertama sejak pengurus Portugal itu meninggalkan kelab itu, Conte telah dilihat mampu menjadikan Inter Milan sebagai pasukan yang mantap.

Aksi final Liga Europa menentang Sevilla di Cologne akan menjadi aksi final Eropah pertama kelab Nerazzurri sejak Mourinho meninggalkan pasukan selepas memenangi satu-satunya kejuaraan treble dengan menjuarai Liga Juara-Juara, Serie A dan Coppa Italia pada 2010.

Sembilan tahun sejak Inter memenangi sebarang trofi tetapi Conte mempunyai sikap membuat impak segera dalam karier pengurusannya.

Dia membawa Bari dan Sienna ke Serie A, memulakan hegemoni Juventus dari liga teratas Itali dengan memenangi tiga gelaran berturut-turut, membawa Itali ke pusingan separuh akhir Euro 2016 dan memenangi kejuaraan Liga Perdana Inggeris bersama Chelsea dalam musim pertamanya.

“Anda boleh nampak dia seorang pemenang. Dia menginginkan kemenangan dan dia mendesak semua pemainnya, mentaliti kemenangan,” kata Ashley Young, yang diterapkan ke sistem permainan Conte sejak perpindahan bulan Januari dari Manchester United. “Dia mendesak segala-galanya – bukan sahaja dalam permainan malah dalam latihan.”

Walau bagaimanapun, Conte tidak akan berada di dalam sesebuah kelab untuk jangka masa panjang. Menguruskan Juventus selama tiga tahun merupakan tempoh terpanjang dalam karier pengurusannya yang merangkumi tujuh buah kelab bersama skuad kebangsaan dan kini Conte berusia 51 tahun.

Walaupun selepas musim pertama yang menyaksikan Inter merapatkan jurang dengan Juventus kepada hanya satu mata di puncak Serie A selepas pasukan juara mula menunjukkan prestasi menurun dalam minggu-minggu terakhir, Conte telah menggugat masa depannya di San Siro selepas hari terakhir musim domestik dia mendakwa bahawa dirinya dan pasukannya telah diberikan ‘sedikit perlindungan dari kelab’. – AFP

Antonio Conte dilihat mampu membentuk skuad Inter Milan menjadi pasukan yang lebih mantap.- AFP