ROM, 24 Mei – Seorang peguam yang kurang dikenali yang bertanggung jawab membentuk kerajaan Itali seterusnya, selepas lebih dua bulan ketidakpastian politik, hari ini akan memulakan pembentukan kabinetnya.
Presiden Itali semalam telah meluluskan pencalonan Giu-seppe Conte menjadi perdana menteri sebuah kerajaan yang dibentuk oleh gerakan anti penubuhan, Five Star Movement dan liga berhaluan kanan.
Conte, dari Five Star, berkata dia akan mengemukakan kabinetnya kepada Presiden Sergio Mattarella. Dalam tempoh ‘beberapa hari akan datang’ ia menjadi tumpuan rundingan pihak Five Star dan liga tersebut.
Senarai calon-calon menteri mesti disokong oleh Mattarella sebelum ia boleh mendapatkan kelulusan parlimen.
Media Itali melaporkan bahawa ketua liga, Matteo Salvini akan menjadi menteri dalam negeri sementara ketua Five Star, Luigi Di Maio akan bertanggungjawab bagi kementerian pembangunan ekonomi.

“Presiden Republik itu telah menugaskan saya dengan peranan membentuk sebuah kerajaan,” Conte memberitahu para pemberita petang semalam selepas mesyuarat hampir dua jam dengan Presiden Mattarella.
Pelantikan Conte mungkin menandakan berakhirnya masalah politik di negara ekonomi ketiga terbesar zon euro itu, tetapi kerajaan gabungan Eropah dan pendirian antipendatang tanpa izin telah mencemaskan pegawai-pegawai kanan Eropah.
Bagaimanapun Conte, 53 tahun, pada Isnin lalu yang diumumkan sebagai pilihan Five Star Movement dan liga nasionalis yang antipenubuhan bagi jawatan perdana menteri, menyatakan hasrat yang lebih menyenangkan kepada Eropah apabila bercakap kepada para wartawan di istana presiden, Quirinal.
“Saya menyedari perlunya untuk mengesahkan tempat Itali, di Eropah dan antarabangsa,” kata Conte, yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘peguam rakyat’.
“Hasrat saya ialah untuk memberi kehidupan kepada kerajaan rakyat yang mengambil berat kepentingan mereka. Saya bersedia untuk mempertahankan kepentingan rakyat Itali di Eropah dan antarabangsa, dengan mengekalkan dialog bersama institusi-institusi Eropah dan perwakilan negara-negara lain.” – AFP