Conte terus komited bersama Inter Milan

MILAN, 26 OGOS – Antonio Conte akan terus mengendalikan Inter Milan musim hadapan, kelab tersebut mengesahkan kelmarin, hanya selepas beberapa hari jurulatih Itali itu memberi bayangan bahawa dia bersedia untuk berhenti selepas satu kempen bersama kelab.

Conte mengadakan ‘perjumpaan yang memfokuskan kelangsungan dan strategi’ bersama presiden kelab yang berasal dari China, Steven Zhang dan pasukan pengurusan. Perjumpaan berlangsung selama lebih dari tiga jam di sebuah vila luar Milan.

“Kedua-dua pihak telah meletakkan asas untuk terus bekerjasama dengan projek kelab,” menurut kelab dalam kenyataan.

Inter berhasrat untuk meneruskan kerjasama selepas menamatkan musim lepas di tempat kedua, hanya satu mata di belakang juara Juventus, dengan pemilik dari China turut menyatakan keyakinannya dalam seluruh pasukan pengurusan.

Conte kini akan menerajui kelab tersebut untuk mengatasi Juventus dengan pengurus baharu, Andrea Pirlo yang telah menggantikan Maurizio Sarri sebagai jurulatih pasukan yang menjuarai liga Serie A sembilan kali berturut-turut.

Conte, 51, dikhabarkan akan meninggalkan kelab selepas kekalahan Inter Milan 3-2 di final Liga Europa menentang Sevilla minggu lalu.

“Sekarang kami akan kembali ke Milan, kami akan mengambil beberapa hari untuk berehat. Kami akan cuba merancang masa depan Inter dengan atau tanpa saya,” kata Conte, selepas pasukan mereka terlepas peluang memenangi trofi pertama sejak 2011.

“Musim yang sangat sukar selepas memungut semua mata, keputusan terbaik mesti diambil untuk kebaikan Inter.”

“Saya tidak menyukai dalam beberapa situasi.”

Bekas pengurus Chelsea dan Juventus mengambil alih jawatan pada bulan Mei 2019 dengan kontrak selama tiga tahun yang dilaporkan bernilai 12 juta euro semusim.

Tetapi hubungannya bersama pengurusan kelab dan CEO, Giuseppe Marotta terutamanya telah dilaporkan dalam keadaan tegang.

Semasa hari terakhir musim domestik, Conte membidas fakta bahawa pemain telah diberikan ‘perlindungan yang sedikit dari kelab.’

“Saya tidak mahu setahun lagi seperti itu.” Marotta, bagaimanapun, menegaskan minggu lalu bahawa ‘semuanya telah dilupakan’ selepas kritikan hangat Conte. – AFP