LONDON, 10 Jan – Pengurus Chelsea, Antonio Conte berkata dia tidak akan melupakan serangan peribadi Jose Mourinho mengenai mengatur perlawanan tetapi pengurus dari Itali itu menambah dia mahu menghentikan perang mulut yang kian memuncak dengan pengurus Manchester United itu.
Jurulatih berusia 48 tahun yang menjalani penggantungan selama empat bulan pada 2012 berhubung dengan skandal mengatur perlawanan tetapi dia tetap menafikan kesalahan yang dilakukan semasa menjadi jurulatih Siena dan Conte berkata dia tidak mahu campur tangan dari Pertubuhan Pengurus Liga (LMA).
“Dia melontarkan kata-kata yang serius. Saya tidak akan melupakannya,” katanya menjelang pertembungan peringkat separuh akhir pertama Piala Liga menentang Arsenal hari ini.
“Saya rasa ia tidak penting. Ini bukan menjadi masalah buat kelab, ia adalah masalah antara saya dan dia. Sekarang saya hentikannya.”
Conte bebas daripada tuduhan penipuan pada 2016 berhubung tuduhan yang gagal dilaporkan mengenai siri mengatur perlawanan semasa mengendalikan kelab Serie B, Siena pada 2011 dan Conte berkata dia tidak menyesal mengenai respon terhadap serangan Mourinho.
Bekas pengurus Juventus dan Itali itu menyifatkan Mourinho sebagai ‘budak kecil’ susulan kenyataannya mengenai mengatur perlawanan dan mengatakan Mourinho mengalami ‘senile dementia’ kerana terlupa dengan sikapnya semasa berada di tepi padang.
Dalam perkembangan lain, pemain antarabangsa Denmark Andreas Christensen yang mempamerkan aksi mantap untuk Chelsea musim ini dihadiahkan dengan kontrak baru jangka panjang di Chelsea.
Pemain pertahanan berusia 21 tahun itu yang berada di Chelsea sejak berusia 15 tahun telah menandatangani kontrak empat tahun setengah selepas menggantikan David Luiz sebagai pemain pertahanan utama susulan aksi menarik sejak kembali ke London selepas menghabiskan dua musim dengan kelab Bundesliga, Borussia Moenchengladbach.
“Saya teruja untuk melanjutkan kontrak di sini dan gembira serta komited bersama Chelsea,” kata Christensen melalui laman sesawang kelab.
“Saya banyak beraksi dan saya gembira di kelab ini dan semua berjalan dengan lancar.
Pengarah Chelsea Marina Granovskaia berkata kontrak itu merupakan hadiah atas penampilan Christensen musim ini.
“Dia menunjukkan potensi apabila menyertai Chelsea pada 2012 dan kini dia menikmatinya atas dedikasi dan sikap profesionalisme yang ditunjukkan selama ini.
“Selepas dipinjamkan dua musim di Jerman, kami yakin bahawa dia sudah bersedia untuk menjadi sebahagian dari skuad musim ini dan dia menerima dengan tangan terbuka peluang itu.” – AFP