Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    Contohi Korea Selatan bangunkan industri filem

    Industri kreatif terbukti mampu memberi impak besar kepada ekonomi negara dan tidak wajar lagi dipandang enteng.

    Penerbit dan pelakon, Datuk Rosyam Nor, berkata kerajaan wajar mengangkat dan menyokong industri kreatif atas potensi yang dimiliki penggeraknya.

    “Angkatlah industri hiburan kita. Ada banyak bakat yang boleh diketengahkan. Industri seni kita mampu memberi impak besar kepada ekonomi negara,” katanya pada program Bicara Persada Ke-62 bertajuk ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat’ di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Program itu turut menampilkan Rosyam sebagai ahli panel bersama Syamsul Yusof serta pensyarah Fakulti Pengajian dan Pengurusan Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Emeritus Datuk Dr Wan Hashim Wan Teh.

    Rosyam memberi contoh bagaimana Korea Selatan meningkatkan potensi industri kreatif yang memberi pulangan berganda sekarang.

    Syamsul Yusof bersama Datuk Rosyam Nor semasa program Bicara Persada Ke-62 bertajuk ‘Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan: Yang Tersurat dan Tersirat’. – Agensi

    “Korea Selatan adalah negara kedua termiskin dunia pada 1990. Negara itu berusaha menaikkan pencapaian semua sektor.

    “Akhirnya, pemimpin mereka letak belanja besar untuk menjalankan kajian dan pembangunan industri hiburan.

    “Bagi kerajaan Korea Selatan, sektor hiburan boleh melariskan negara. Bukan hanya filem dan muzik yang laku, negara itu juga laris,” katanya kepada wartawan.

    “Hari ini, Syamsul sudah membuktikan industri kita mampu mengutip hampir RM100 juta melalui filem Mat Kilau.

    “Ini bermakna sumbangan industri hiburan amat besar,” katanya.

    Syamsul pula membangkitkan soal kadar bayaran drama yang ditetapkan penyiar.

    Katanya, penonton tidak boleh menyalahkan penerbit menghasilkan drama sama kerana mereka memerlukan bajet mengeluarkan naskhah berbeza.

    “Kita boleh lihat bayaran untuk drama masih sama sejak era 1980-an. Sebab itu, jangan tanya mengapa industri perfileman kita tidak habis-habis ketengahkan kisah cinta tiga segi.

    “Jika kita mahu hasilkan cerita berkisar peguam dan sebagainya seperti drama Korea Selatan, kita perlu bajet untuk buat penyelidikan dan sebagainya.

    Syamsul berkata, industri kreatif tempatan perlu menjadikan Korea Selatan sebagai contoh dan pengajaran.

    “Kita termasuk saya harus belajar daripada pencapaian industri hiburan di Korea Selatan. Sekarang kita boleh lihat karya mereka di serata dunia.

    “Kaji mengapa karyanya menggunakan bahasa yang kita tidak faham, tapi kita boleh tengok,” katanya.

    Syamsul berkata, sebelum ini, filem dan drama Korea Selatan dilihat bergerak agak perlahan dan tidak komersial seperti sekarang.

    “Namun, industri perfileman di Korea Selatan sudah membuat evolusi. Penggiat di sana menjadikan semua genre filem dan drama komersial.” – Agensi

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...