Contohi sifat Rasulullah

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Rasulullah SAW merupakan seorang guru yang dapat membimbing umat akhir zaman semata-mata untuk mendapatkan rahmat dan reda Allah SWT.

“Untuk mendapatkan reda Allah, kita harus mempunyai sifat ikhlas seperti sifat-sifat Rasulullah, yang mana telah membimbing manusia sebagai seorang guru dengan ikhlas semata-mata kerana Allah SWT.

“Sifat seperti Rasulullah SAW inilah kita selaku seorang guru harus miliki agar kita akan sentiasa mendapat reda dan rahmat Allah dalam mendidik seseorang supaya mereka menjadi seseorang yang berkualiti.”

Perkara berkenaan adalah antara yang ditekankan oleh Daie Pusat Dakwah Islamiah, Kementerian Hal Ehwal Ugama, Dr Andas Haji Ismuhadi bin Haji Abdullah semasa menyampaikan tazkirah subuh bertajuk ‘Rasulullah Guru Tauladan Sepanjang Zaman’ pada Program Masjidku Makmur, Negara Berkat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, minggu ini.

Hadir bersama-sama jemaah masjid bagi menjayakan program kali ini ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud; Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz bin Orang Kaya Maharaja Lela Haji Yussof dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan) di KHEU, Haji Mohd Serudin bin Haji Timbang.

Program berkenaan merupakan program mingguan yang memberikan peluang kepada para pengunjung bersempena acara ‘Bandarku Ceria’ memulakan langkah dan keceriaan hari dengan meraih keberkatan melalui partisipasi menunaikan tuntutan sembahyang fardu secara berjemaah dan merebut ganjaran pahala melalui bacaan wirid-wirid selepas sembahyang dan kegiatan keagamaan yang telah diaturkan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti, Dato Seri Setia Haji Abdul Aziz dan Haji Mohd Serudin semasa menghadiri tazkirah subuh di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien baru-baru ini.