Tuesday, April 16, 2024
25.4 C
Brunei

    -

    COP15: Tidak semua puas hati dengan kandungan Kunming-Montreal GBF

    MONTREAL, KANADA – Selepas empat tahun berunding termasuk penangguhan disebabkan pandemik COVID, Rangka Kerja Biodiversiti Global (GBF) Kunming-Montreal akhirnya dipersetujui oleh negara peserta  mesyuarat ke-15 Persidangan Parti-Parti (COP15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), 19 Disember lalu.

    Perjanjian itu menyaksikan negara peserta bersetuju, antara lain, menerima guna 23 sasaran yang ditetapkan bagi memulihara alam semula jadi dan melindungi serta mencegah kepupusan spesies menjelang 2030.  

    GBF yang bertunjangkan Matlamat 30×30, menuntut komitmen negara peserta untuk memulihara sekurang-kurangnya 30 peratus daripada daratan, perairan pedalaman, kawasan pantai dan lautan global, serta mengembalikan 30 peratus kawasan daratan dan persekitaran marin yang telah mengalami kemerosotan.  

    Kira-kira 17,000 perwakilan, termasuk media dan aktivis, dari 196 negara berhimpun selama dua minggu sejak 7 Disember lalu, sebelum China selaku Presiden COP15, mengumumkan keputusan muktamad tentang GBF itu.

    Penantian malam terakhir 

    Menteri Ekologi dan Alam Sekitar China, Huang Runqiu yang mempengerusikan sesi pleno terakhir bagi memuktamadkan draf GBF mengumumkan negara peserta mencapai kata sepakat pada 3:30 pagi waktu tempatan (4:40 petang waktu Malaysia) 19 Disember lalu, iaitu kira-kira enam jam selepas ia sepatutnya diputuskan pada 9:30 malam.

    Mesyuarat ke-15 Persidangan Parti-Parti (COP-15) Konvensyen Kepelbagaian Biologi (CBD) Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu di Montreal, Kanada. – Bernama
    Pemerhati dari Malaysia, Syed Hazri yang juga Ketua Projek bagi DHI Water and Environment Sdn Bhd (kiri). – Bernama
    Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Rakan Kongsi Organisasi Malaysia di Sabah (PACOS Trust), Gordon Thomas. – Bernama

    “Pakej perjanjian dipersetujui,” umum Huang sambil mengetuk penukul, isyarat sidang itu tamat, selepas menghabiskan kira-kira sejam membaca setiap sasaran di bawah GBF, membawa andaian semua negara peserta menerima perjanjian tersebut tanpa sebarang bantahan. 

    Namun, menyusuli pengumuman China itu yang disambut tepukan gemuruh peserta di dalam dewan persidangan, berlegar cerita tentang Huang tidak mengendahkan bantahan yang dikemukakan oleh Congo beberapa minit sebelum beliau mengumumkan GBF disepakati.

    Keesokan harinya Huang dilihat menghampiri Menteri Alam Sekitar Congo, Eve Bazaiba dan bersalaman dengan wanita itu, tindakan yang boleh dianggap sebagai permohonan maaf oleh Huang.

    Dalam responsnya kemudian, Bazaiba memuji rakan sejawatannya itu serta mengakui draf akhir perjanjian disepakati pada sidang pleno terakhir tersebut. 

    IPLCs sokong GBF 

    Forum Orang Asli Antarabangsa mengenai Biodiversiti (IIFB) memuji teks perjanjian yang disifatkannya sebagai ‘tegas dari segi menghormati hak Orang Asli dan komuniti setempat.

    Pengerusi Bersama IIFB Lucy Mulenkei berkata pertubuhan itu gembira dengan pengiktirafan terhadap sumbangan, peranan, hak dan tanggungjawab Orang Asli dan komuniti setempat (IPLCs) kepada bumi yang diberikan oleh Kunming-Montreal GBF. 

    “IPLCs berpuas hati kerana, akhirnya, kami diiktiraf. Kini, dengan hampir kesemua syor yang kami bentang dan runding dicerminkan (dalam GBF), kami pulang dengan rasa gembira dan bersedia untuk melaksanakannya. Kami gembira kerana tidak berputus asa walaupun ketika berdepan saat sukar.

    “Kami akan mara dan pastikan kejayaan pelaksanaan GBF,” katanya dalam kenyataan.

    Ahli Jawatankuasa Pemegang Amanah Rakan Kongsi Organisasi Masyarakat di Sabah (PACOS Trust), Gordon Thomas turut meraikan keterangkuman hak-hak Orang Asli dalam Sasaran 3, iaitu melin-dungi satu pertiga daripada daratan dan lautan dunia yang turut digelar sebagai Matlamat 30×30.

    Bercakap kepada Bernama selepas perasmian penutupan sesi pleno, perwakilan berketurunan Dusun-Tatana itu berharap inti pati GBF akan disebar luas kepada seluruh penduduk Sabah.

    “Kami akan bekerja dengan kerajaan negeri dan pusat bagi melaksanakan 30×30,” katanya yang juga ahli konsortium Wilayah Dipulihara Orang Asli dan Komuniti (ICCAs).

    Detik memeranjatkan 

    Walaupun kebanyakan negara dan persatuan gembira dengan perjanjian itu, ada perwakilan dan pemerhati menyuarakan rasa hampa dengan sesetengah istilah dalam draf akhir yang dipersetujui hanya dalam tempoh semalaman tersebut.

    Pemerhati dari Malaysia, Syed Mohazri Syed Hazari yang juga Ketua Projek bagi DHI Water and Environment Sdn Bhd, berkata walaupun amnya beliau menyambut baik kata sepakat yang dicapai, ada beberapa sasaran yang dirasakannya tidak memenuhi harapan mereka.

    Mengambil contoh Sasaran 15, beliau berkata perniagaan seharusnya diminta menilai dan mendedahkan bagaimana mereka memberi impak kepada kemerosotan alam sekitar serta bagaimana kemerosotan itu menjejaskan mereka.

    Namun perjanjian tidak memperuntukkan hal itu sebagai mandatori.

    “Kami telah, secara aktif selama ini, mendesak agar syarikat awam dan swasta diwajib mendedahkan risiko yang dibawa mereka dan impak serta kebergantungan mereka terhadap alam sekitar dalam semua perundingan dan mesyuarat kumpulan kerja yang saya hadiri sejak 2019. 

    “Walaupun kecewa kerana angka yang kami sasarkan untuk mengurangkan impak negatif hingga separuh dikeluarkan daripada perjanjian akhir, Sasaran 15 masih dalam bentuk isyarat keras kepada komuniti perniagaan global.

    “Justeru, kami akan terus mendesak agar hal ini dijadikan mandatori kepada semua perniagaan di Malaysia melalui perbincangan meja bulat bersama-sama sektor swasta dan awam,” kata Syed Mohazri yang juga Pengerusi Interim Platform Malaysia bagi Perniagaan dan Biodiversiti (MPPB) kepada Bernama. – Bernama

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Bot karam di Kashmir India bunuh sekurang-kurangnya 4 orang

    SRINAGAR, 16 APRIL - Sebuah bot yang membawa sekumpulan orang terbalik di sungai di Kashmir yang dikuasai India pada hari ini, menenggelamkan empat daripada...