Friday, December 6, 2024
31.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    COP16 Riyadh bincang isu pulih tanah global

    RIYADH, 29 NOV – Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Persidangan COP16 Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengenai kemusnahan tanah dan penggurunan minggu depan, ketika negara pengeksport minyak terbesar itu cuba tampil sebagai pembela alam sekitar meskipun menerima kritikan terhadap peranannya dalam rundingan iklim.

    Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, menyifatkan sidang di bawah Konvensyen PBB untuk Memerangi Penggurunan (UNCCD) sebagai detik penting untuk melindungi dan memulihkan tanah serta menangani kemarau.

    Namun, aktivis menuduh Arab Saudi – pengeksport minyak terbesar dunia – cuba melemahkan seruan untuk menghentikan penggunaan bahan api fosil secara berperingkat dalam sidang COP29 di Azerbaijan minggu lalu.

    Isu penggurunan bagaimanapun amat relevan bagi negara Teluk itu, yang memiliki salah satu padang pasir terbesar di dunia.

    “Kami adalah negara padang pasir. Kami terdedah kepada bentuk kemusnahan tanah yang paling teruk, iaitu penggurunan,” kata Timbalan Menteri Alam Sekitar Arab Saudi, Osama Faqeeha, kepada AFP.

    “Tanah kami kering. Hujan yang turun sangat sedikit. Inilah realiti yang kami hadapi dan telah kami tangani selama berabad-abad,” tambahnya.

    Kemusnahan tanah mengganggu ekosistem dan menjadikan tanah kurang produktif untuk pertanian, yang boleh membawa kepada kekurangan makanan dan mendorong penghijrahan penduduk.

    Tanah dianggap rosak apabila produktivitinya terjejas akibat aktiviti manusia seperti pencemaran atau penebangan hutan. Penggurunan pula merupakan bentuk kemusnahan yang paling ekstrem. – AFP

    Pandangan umum menunjukkan kejiranan di ibu negara Saudi Riyadh pada 26 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda