Costa diarah bayar 1.7 juta

MADRID, 14 OGOS – Penyerang Atletico Madrid, Diego Costa bersetuju untuk membayar 1.7 juta euro kepada agensi cukai Sepanyol, yang menyiasatnya bagi kes cukai tidak dibayar bagi hak-hak imej, menurut sebuah akhbar Sepanyol.

Agensi itu berkata penyerang berusia 30 tahun itu menyembunyikan pendapatan yang diperolehnya pada 2014 hasil satu perjanjian dengan Adidas tidak lama sebelum menyertai Chelsea dari Atletico pada tahun tersebut. Costa, yang mempunyai dua warganegara, kembali ke Atletico paa tahun 2018.

Di bawah satu persetujuan dengan pejabat cukai Sepanyol, Costa akan mengaku bersalah atas dakwaan mengelak cukai dan membayar 1.1 juta euro cukai tertunggak, menurut akhbar El Mundo.

Dia juga akan dijatuhkan hukuman penjara enam bulan tetapi tidak akan menjalani hukuman penjara, sebaliknya perlu membayar 600,000 euro, menurut akhbar tersebut.

Ketika dihubungi AFP, seorang jurucakap pejabat cukai berkata dia tidak dapat memberi komen bagi mana-mana fail cukai individu.

Costa menjadi pemain bola sepak terbaharu yang menghadapi ketegasan pihak berkuasa cukai Sepanyol.

Mahkamah Sepanyol pada Januari menjatuhkan hukuman penjara tertunda selama dua tahun ke atas bintang Portugal, Cristiano Ronaldo kerana melakukan penipuan cukai ketika bersama Real Madrid. – AFP

Gambar yang diambil pada 20 Februari 2019 menunjukkan reaksi Diego Costa ketika beraksi menentang Juventus di Madrid. – AFP