Thursday, January 23, 2025
23.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Costa nafi tuduhan pijak kaki

    KAZAN, 21 Jun – Penyerang Sepanyol dan Atletico Madrid, Diego Costa menafikan dakwaan bahawa dia sengaja memijak kaki penjaga gol Iran, Ali Beiranvand ketika menentang Iran dan mengakui jaringan kemenangannya itu adalah lebih kepada ‘nasib’.

    Bergelut untuk memecahkan kekentalan benteng skuad Iran, Costa mencetuskan kontroversi pada separuh masa pertama apabila dia berjalan ke arah penjaga gol Iran itu ketika dia bersedia untuk mengambil tendangan gol.

    Diego Costa dilihat datang begitu hampir dengan kaki Beiranvand, sekali gus menyebabkan ‘penjaga gol itu meronta kesakitan dan terbaring di atas padang’.

    Tindakan itu bagaimanapun tidak dihukum pengadil dari Uruguay, Andres Cunha dan Costa akhirnya meledakkan gol kemenangannya pada minit ke-54, menerusi percubaan yang terbias melepasi kaki pertahanan Iran, Ramin Rezaeian.

    Ditanya mengenai insiden terbabit, Costa menegaskan bahawa Iran menjadi dalangnya. “Perlawanan mana yang anda saksikan tadi?,” kata Costa kepada wartawan Sepanyol.

    “Mereka melakukan provokasi kepada kami. Kami sentiasa berada di atas padang. Anda tidak boleh katakan sebegitu kerana ini adalah pasukan kebangsaan anda.” Costa kini sudah menjaringkan tiga gol dalam dua perlawanan, sekali gus hanya ketinggalan di belakang penyerang Portugal, Cristiano Ronaldo yang menjaringkan empat gol dalam dua aksi setakat ini.

    “Saya tidak bersaing dengannya (Ronaldo),” kata Costa. Namun bekas penyerang Chelsea itu mengakui dia bernasib baik untuk meledakkan jaringan tunggal perlawanan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda