Costa Rica isytihar perintah darurat

SAN JOSE, 6 Jan – Costa Rica mengisytiharkan perintah darurat selepas gunung berapi meletuskan abu yang memaksa semua penerbangan antarabangsa ditangguhkan dan mencetuskan suasana cemas di ibu negara berkenaan.

“Untuk beberapa hari ini, Gunung Berapi Turrialba berterusan mengeluarkan abu,” kata Suruhanjaya Kecemasan Kebangsaan (CNE) dalam satu kenyataan hari ini.

Negara itu mengeluarkan perintah darurat bagi ibu negara San Jose dan beberapa bandar raya berhampiran.

San Jose terletak kira-kira 36 kilometer (km) dari gunung berapi itu yang mempunyai ketinggian 3,432 meter dari bawah paras laut.

Kepulan debu dan asap dari Turrialba dibawa angin menghala ke San Jose dan beberapa bandar lain seperti Heredia, Cartago dan Alajuela, iaitu bandar yang terletaknya lapangan terbang antarabangsa.

Abu yang dikeluarkan oleh gunung berapi Turrialba di Cartago, 35 km timur San Jose, pada September 20, 2016. – AFP
Abu yang dikeluarkan oleh gunung berapi Turrialba di Cartago, 35 km timur San Jose, pada September 20, 2016. – AFP

Pihak berkuasa berkata, beberapa penerbangan antarabangsa digantung sementara pada Rabu namun trafik udara kembali beroperasi semalam.

Jabatan Pemantauan Seismologi dan Gunung Berapi di Universiti Costa Rica berkata, gegaran seismik dikesan semakin meningkat di kawasan gunung berapi Turrialba.

CNE mengeluarkan nasihat kepada penduduk agar memakai pelindung mata, topi dan pakaian yang sesuai ketika berada di luar kediaman.

Mereka juga diminta agar mencuci sayur-sayuran yang dipetik dari kawasan gunung berapi kerana dikhuatiri abu boleh memudaratkan kesihatan. – AFP