Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Costa Rica sambar tiket terakhir ke Piala Dunia

    DOHA, 15 JUN – Costa Rica menjadi pasukan terakhir yang melayakkan diri ke pentas Piala Dunia tahun ini selepas gol awal minit daripada Joel Campbell menghadiahkan pasukan mereka kemenangan 1-0 ke atas New Zealand dalam perlawanan playoff, kelmarin.

    Bekas penyerang Arsenal, Campbell membuka jaringan pada minit ketiga di Doha, dan New Zealand, yang terpaksa bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua, gagal mencari gol penyamaan meskipun mendominasi perlawanan.

    Costa Rica bakal bertemu Jerman, Sepanyol dan Jepun dalam perlawanan kumpulan E, pada November nanti di Qatar.

    Kemenangan tersebut meletakkan Costa Rica untuk beraksi di Piala Dunia buat tiga kali berturut-turut dan enam kali secara keseluruhannya. Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah mara ke suku akhir pada 2014.

    Penyerang New Zealand, Chris Wood tentunya kecewa setelah jaringannya untuk menyamakan kedudukan dibatalkan oleh VAR sebelum separuh masa pertama tamat setelah didapati berlakunya kekasaran.

    Reaksi pemain Costa Rica meraikan kemenangan mereka selepas berjaya menewaskan New Zealand. – AFP

    Kekecewaan New Zealand bertambah apabila Kosta Barbarouses dibuang padang, selepas lapan minit dimasukkan kerana mengasari Francisco Calvo. Keputusan tersebut juga diubah oleh VAR selepas dia dilayangkan kad kuning.

    Sebelum ini, kedua-dua pasukan teruk terjejas akibat wabak.

    New Zealand memenangi perlawanan untuk beraksi dalam playoff tersebut, yang diadakan di dalam stadium tertutup di Qatar tahun ini kerana bimbang dengan wabak koronavirus.

    Dua minggu sebelum perlawanan, Bryan Ruiz dari Costa Rica disahkan dijangkiti COVID dan pasukannya juga menafikan dakwaan mengenai mereka menurunkan pemain yang dijangkiti semasa perlawanan menentang Jamaica Januari lalu. Sementara itu, Australia menjadi pasukan ke-31 yang bakal beraksi di Qatar nanti selepas mereka menewaskan Peru 5-4 menerusi gol penalti, baru-baru ini.

    Perlawanan pertama Piala Dunia di Qatar nanti akan bermula pada 21 November dan perlawanan final pula akan berlangsung pada 18 Disember. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...