Coutinho ikrar lebih dahaga

PORTO ALEGRE, 25 JUN – Pemain tengah Brazil, Philippe Coutinho mengakui bahawa dia mengalami musim hambar di Barcelona dalam tempoh 10 bulan kebelakangan tetapi menegaskan ia dianggap sebagai satu ‘pengajaran’ bagi masa depan.

Coutinho dikritik secara meluas musim ini atas prestasinya di Camp Nou tetapi ia tidak menghalangnya daripada menjadi pemain pilihan buat jurulatih Brazil, Tite, dengan bermain setiap saat buat Selecao bagi saingan Copa Amerika di tanah air sendiri setakat ini.

“Sejujurnya, ia bukan musim yang baik. Ia tidak menjadi seperti yang saya mahukan dan harapkan,” kata pemain berusia 27 tahun itu, yang menyertai Barca dengan harga 160 juta euro pada Januari 2018.

“Tetapi saya harap ia menjadi satu pengajaran buat diri saya, agar saya lebih dahaga, lebih fokus untuk berjaya.”

Coutinho menjaringkan gol dalam kemenangan 3-0 Brazil ke atas Bolivia dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, kurang menonjol dalam keputusan seri 0-0 dengan Venezuela tetapi kemudian bermain perlawanan terbaiknya dengan membelasah Peru 5-0.

“Di sini dalam pasukan kebangsaan sentiasa mempunyai satu tanggungjawab iaitu menunjukkan komitmen yang betul untuk dapat turun beraksi,” katanya.

“Sama ada musim yang bagus atau tidak, ia tidak mengubah apa-apa, dahagakan kemenangan sentiasa sama atau mungkin lebih lagi.”

Coutinho hanya menjaringkan 13 gol dalam La Liga sejak menyertai Barca dan beberapa kali ditempatkan di bangku simpanan musim lepas. Sementara itu, semasa ketiadaannya, Liverpool telah memenangi Liga Juara-Juara bulan lepas. – AFP

Coutinho (kanan) menjalani sesi latihan bersama rakan sepasukannya, Richarlison (kiri) dan Lucas Paqueta di Porto Alegre, Brazil. – AFP