LONDON, 15 Mei – Liverpool dalam laluan untuk melayakkan diri ke Liga Juara-Juara selepas Philippe Coutinho menjadi inspirasi dalam kemenangan 4-0 ke atas West Ham United, sementara Tottenham menang 2-1 ke atas Manchester United dalam perlawanan terakhir di White Hart Lane.
Berbeza dengan kegembiraan Liverpool dan Tottenham, nasib Hull sudah pasti apabila mereka tersingkir dari Liga Perdana selepas kekalahan 4-0 di Crystal Palace. Ia adalah hari penuh emosi dalam Liga Perdana bagi pasukan yang berada di kedudukan atas dan bawah liga.
Di Stadium London, Liverpool mendapat gol pendahuluan apabila hantaran Coutinho disudahi oleh Daniel Sturridge di awal separuh masa pertama.
Coutinho sekali lagi menjadi tumpuan di separuh masa kedua dengan larian solo menarik dan penyudah kemas bagi memberikan skuad Jurgen Klopp kelebihan tiga gol sebelum Divock Origi melengkapkan kemenangan bergaya Reds.

Liverpool kembali ke tangga ketiga di atas Manchester City. Meskipun City dan pasukan di tangga kelima, Arsenal masih mempunyai baki satu perlawanan di tangan berbanding Liverpool, Skuad Klopp akan pasti mendapat slot Liga Juara-Juara jika mereka menewaskan Middlesbrough di Anfield Ahad ini.
Sukar untuk membayangkan Arsenal tewas di gelanggang sendiri ke atas Sunderland Rabu ini, seandainya kalah, Liverpool akan meraih empat kedudukan teratas tanpa perlu bermain. – AFP