Saturday, April 20, 2024
26.6 C
Brunei

    -

    COVID: 1,772 kes baharu dilaporkan

    Oleh Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 JULAI – Dalam masa satu minggu kebelakangan ini, jumlah kes COVID yang dilaporkan di Negara Brunei Darussalam adalah pada kadar purata kira-kira 1,730 kes setiap hari yang mana sebanyak 68,893 keputusan ujian pantas antigen (ART) telah dimuat naik ke aplikasi BruHealth dalam tempoh tersebut, di mana 17.5 peratus daripadanya adalah keputusan yang positif.

    Sementara itu, pada hari ini, sebanyak 1,772 kes baharu telah dilaporkan iaitu 1,762 kes hasil ujian ART dan 10 kes adalah hasil daripada 334 ujian makmal RT-PCR yang telah dilakukan dalam masa 24 jam yang lalu.

    Perkara tersebut dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku wakil Yang Berhormat Menteri Kesihatan pada Sidang Media COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini.

    “Hari ini, satu kes berada dalam kategori 5 yang memerlukan rawatan di unit rawatan intensif (ICU) manakala 15 kes berada dalam kategori 4 iaitu memerlukan bantuan oksigen dan di bawah pemantauan rapi,” kongsi Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

    “Sepertimana dalam masa minggu-minggu sebelum ini, lebih 99 peratus daripada kes-kes yang dikesan dalam masa satu minggu kebelakangan telah dikategorikan dalam kategori 1 atau 2 dan tidak memerlukan rawatan di hospital,” tambah Yang Berhormat Pehin.

    Menyentuh mengenai liputan vaksinasi, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa setakat 17 Julai, 74 peratus daripada keseluruhan rakyat dan penduduk di negara ini telah mendapatkan dos ketiga vaksin manakala 5 peratus juga telah mendapatkan dos keempat.

    Sementara itu, sebanyak 78 peratus daripada kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan dos kedua vaksin. Manakala 51.8 peratus remaja berumur 12 hingga 17 tahun telah mendapatkan dos ketiga vaksin.

    Pada sidang media berkenaan, Yang Berhormat Pehin turut mengingatkan orang ramai untuk memuat naik keputusan ujian ART, sama ada positif atau negatif ke aplikasi BruHealth untuk membantu Kementerian Kesihatan memantau situasi jangkitan.

    Sebelum mengakhiri sidang media tersebut, Yang Berhormat Pehin mengambil kesempatan memanjatkan doa semoga Negara Brunei Darussalam berserta seluruh rakyat dan penduduknya sentiasa terpelihara daripada segala bencana dan wabak penyakit serta berada di dalam perlindungan Allah SWT.

    Yang Berhormat Menteri di Jabatan Perdana Menteri semasa hadir pada sidang media tersebut, kelmarin. Turut hadir ialah Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Kesihatan, Dr Ang Swee Hui.
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...