COVID-19: 2 jangkitan baharu, 4 sembuh

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 APRIL – Dua lagi kes baharu jangkitan COVID-19 telah disahkan oleh Kementerian Kesihatan di negara ini yang membawa jumlah keseluruhan kes kepada seramai 133 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar pada Sidang Media bagi Status Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan hari ini berkata kes 132 berumur 40 tahun merupakan isteri kepada kes 103.

Beliau tidak mempunyai sejarah perjalanan ke luar negara dan telah pertama kali menjalani ujian makmal pada 24 Mac lalu yang didapati negatif. Walau bagaimanapun, semasa menjalani kuarantin, beliau telah mula mengalami sakit tekak dan selesema pada 30 Mac lalu.

Kes 133 berumur 38 tahun pula merupakan seorang warga tempatan yang telah pulang ke negara ini dari United Kingdom melalui Singapura dengan menaiki pesawat Royal Brunei BI424 (tempat duduk 22A) pada 1 April (kelmarin).

Beliau telah mula mengalami demam panas dan batuk pada 16 Mac lalu iaitu semasa berada di United Kingdom. Walaupun beliau tidak mempunyai tanda-tanda jangkitan di sepanjang perjalanan pulang ke negara ini.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa berucap pada sidang media berkenaan.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan juga memaklumkan bahawa empat lagi kes yang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan telah disahkan sembuh dan dibenarkan untuk pulang ke rumah, yang membawa jumlah keseluruhan yang telah sembuh kepada 56 orang.

“Ini bermakna terdapat 76 kes yang sedang dirawat di pusat berkenaan. Daripada jumlah tersebut, tiga orang masih dalam keadaan kritikal dan memerlukan bantuan mesin pernafasan di Unit Rawatan Intensif di pusat tersebut di mana salah seorang daripadanya masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO). Sementara itu, selebihnya adalah dalam keadaan yang baik,” kongsinya.

Sementara itu, menurut Yang Berhormat Menteri Kesihatan, seramai 451 orang sedang menjalani kuarantin, mengikut Akta Penyakit Berjangkit Penggal 204. Manakala seramai 1,858 orang telah menamatkan tempoh kuarantin dan dalam keadaan yang baik.

Sejak awal Januari 2020, sebanyak 7,055 ujian makmal bagi COVID-19 telah dijalankan, yang membawa kepada nisbah seorang dalam 61 penduduk negara ini telah dibuat pemeriksaan untuk COVID-19.

Yang Berhormat Dato juga memaklumkan kepada orang ramai bahawa penyiasatan kes yang terperinci terhadap kes 121 telah mengaitkan kes tersebut dengan beberapa orang jemaah tabligh yang sebelum ini telah disahkan positif COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di mana sekurang-kurangnya seorang daripada mereka telah bertemu dengan kes 121 pada 8 Mac lalu. Kes 121 telah didapati mula mengalami tanda-tanda jangkitan pada 17 Mac lalu.

Di kesempatan itu, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih terutama sekali kepada Syarikat LSL Sdn Bhd di atas sumbangan bagi kos pembinaan sebuah bangunan tambahan iaitu Unit Diagnostik Molekuler bagi Virus Respiratori, Makmal Rujukan Kebangsaan Virologi yang terletak di Jalan Sumbiling, Bandar Seri Begawan.

Di samping itu, Kementerian Kesihatan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kontraktor yang lain yang terdiri daripada Trane Aire Sdn Bhd, Syarikat Daya Engineering Sdn Bhd, Amberhigh Sdn Bhd, Beaver Engineering Sdn Bhd, Kha Arkitek, Swee Sdn Bhd, Petar Perunding Sdn Bhd, Supinda Electronic & Trading Company, Razaco Transport Services dan Gaya Reka Sdn Bhd yang turut sama-sama menyumbangkan kepada kos pembinaan makmal virologi tambahan tersebut.

“Jumlah keseluruhan kos pembinaan makmal virologi tambahan ialah sebanyak $569,348,” kongsinya.

Di kesempatan itu juga, Yang Berhormat Menteri Kesihatan mengucapkan terima kasih kepada syarikat-syarikat, persatuan-persatuan, pihak-pihak persendirian dan orang ramai yang telah memberikan sumbangan ikhlas kepada tabung COVID-19 Relief Fund yang mana setakat ini jumlahnya adalah sebanyak $3,249,221.97.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan iaitu www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 (pada bila-bila masa) atau melalui aplikasi healthinfo.gov.bn.