COVID-19: 290.5 juta pelajar tidak bersekolah

ROM, 5 MAC – Hampir 300 juta pelajar di seluruh dunia sudah berminggu-minggu tidak bersekolah, dengan Itali menjadi negara terbaru menutup sekolah berikutan penularan wabak COVID-19.

Setakat ini, lebih 95,000 orang dijangkiti koronavirus itu, yang sudah mengorbankan lebih 3,200 mangsa di seluruh dunia dengan jangkitan merebak ke lebih 80 negara.

Sebahagian besar kes jangkitan dan kematian berlaku di China, di mana virus itu mula muncul akhir tahun lalu, mengakibatkan beberapa bandar diletakkan di bawah perintah berkurung dengan sekolah, premis perniagaan dan kilang diarah ditutup.

Berikutan penyebaran virus itu, negara lain turut mengambil langkah drastik dengan 13 negara bertindak menutup terus sekolah dan di sembilan negara lagi, sekolah di wilayah tertentu ditutup.

Mengikut Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), tindakan itu menjejaskan pembelajaran 290.5 juta kanak-kanak.

Di Perancis, 120 sekolah ditutup dan Korea Selatan menangguhkan penggal sekolah sehingga 23 Mac ini manakala di Jepun, hampir semua sekolah ditutup selepas Perdana Menteri, Shinzo Abe, membatalkan kelas sehingga awal April ini.

Ketua Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva, berkata dalam keadaan yang tidak menentu seperti sekarang semua pihak perlu melakukan lebih daripada apa yang mencukupi.

“Wabak ini adalah masalah global yang memerlukan tindak balas global,” katanya.

Itali menyaksikan wabak COVID-19 terus merebak meskipun pelbagai langkah tegas diambil, termasuk 11 bandar dengan 50,000 penduduk dikuarantin. – AFP