COVID-19: 447 kes baharu di Singapura

SINGAPURA, 16 APRIL – Singapura merekodkan pertambahan 447 kes baharu COVID-19, peningkatan harian tertinggi dengan jumlah keseluruhan melonjak kepada 3,699 kes di republik ini.

Menurut Kementerian Kesihatan (MOH) Singapura, daripada jumlah itu, sebanyak 409 kes melibatkan pemegang permit kerja dengan 404 yang tinggal di asrama dan lima di luar asrama.

Jumlah kes baharu dalam kalangan pemegang permit kerja meningkat dengan ketara, daripada purata 48 kes sehari pada minggu sebelumnya kepada 260 kes sehari minggu lepas.

“Ini berikutan usaha berterusan untuk melakukan ujian terhadap pekerja. Kebanyakan mereka tinggal di asrama,” kata MOH dalam kenyataan di sini.

Empat rakyat Malaysia adalah antara kes baharu yang mempunyai kaitan dengan kluster Tech Park Crescent manakala tiga lagi masih diklasifikasikan sebagai kes tempatan yang tiada kaitan.

Seorang lelaki memakai penutup muka dan hidung bagi langkah pencegahan menghindari wabak COVID-19, berjalan melintasi taman kejiranan yang ditutup di Singapura pada 16 April. Singapura telah merekodkan pertambahan sebanyak 447 kes baharu pada 16 April. – AFP

Singapura juga telah mengenal pasti empat kluster baharu di 10, Kian Teck Crescent Dormitory; 26, Kian Teck Dormitory; 234, Balestier Road; dan 460, Mandai Lodge.

“Tiada kes import baharu dalam tempoh lima hari lepas,” kata kementerian itu sambil menambah 38 kes diklasifikasikan sebagai kes tempatan dalam komuniti.

Dalam tempoh dua minggu lepas, MOH berkata jumlah kes baharu dalam komuniti kekal stabil dengan purata 36 kes sehari.

Daripada kes baharu itu, MOH menyatakan bahawa 68 peratus adalah berkaitan kluster yang diketahui, dan selebihnya masih melakukan pengesanan kontak.

Mengenai kes yang disahkan, menurut MOH, 652 kes telah pulih daripada jangkitan dan didiscaj daripada hospital dan fasiliti isolasi komuniti.

Daripada 1,496 kes yang disahkan yang masih dirawat di hospital, kebanyakan kes adalah stabil dan semakin pulih, manakala 26 dalam keadaan kritikal dan dirawat di unit rawatan rapi.

Sebanyak 1,540 yang sihat secara klinikal dan masih positif COVID-19 diasingkan dan berada di fasiliti komuniti.

Singapura setakat ini telah merekodkan 10 kematian berikutan jangkitan COVID-19.

MOH memaklumkan kes 3,381 melibatkan seorang lelaki rakyat Malaysia berumur 80 tahun yang meninggal dunia pada 14 April tiada kaitan dengan jangkitan COVID-19.

Di bawah pengawasan MOH yang dipertingkatkan, ujian COVID-19 dilakukan terhadap lelaki itu selepas kematiannya dan hasil ujian itu didapati positif. – Bernama