COVID-19: 54 kes baharu dicatat

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 NOV – Sebanyak 54 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 kepada 14,269 orang.

Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar telah memaklumkannya semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Menurut Yang Berhormat Dato, terdapat 20 tambahan kes-kes baharu kepada lapan kluster aktif yang sedia ada hari ini yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, beliau juga mengongsikan bahawa terdapat empat kluster baharu telah dikesan yang melibatkan 17 kes.

“Kluster-kluster baharu ini adalah merupakan kluster kediaman di mana tiga daripadanya iaitu Kluster Kampung Menengah staff house, Kluster Medait Enterprise staff house, Jangsak dan Kluster Mata-Mata Construction Site adalah kluster rumah yang menempatkan pekerja-pekerja syarikat berkenaan,” kongsi Yang Berhormat Menteri Kesihatan.

Manakala lapan kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan di dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster Hua Ho Manggis, Kluster Guardian Distribution Centre, Kluster Takaza Sdn Bhd, Kluster Degymix Enterprise, Kluster 4771, Kluster 6678, Kluster 7327 dan Kluster 9543, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 160 kluster.

Manakala, terdapat 17 kes baru yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan.

“Sebanyak 83 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam kepada 13,645 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 526 kes,” jelas Yang Berhormat Dato lagi.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang ada dalam rawatan sekarang, Yang Berhormat Menteri Kesihatan berkata bahawa empat kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

Sementara itu, satu kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang memerlukan bantuan oksigen dan adalah di bawah pemantauan rapi.

Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 1,465 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 561,606 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Dato turut menyeru orang ramai untuk terus berwaspada dan jangan leka dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing bagi melindungi rakyat dan penduduk daripada ancaman dan kesan wabak COVID-19, khususnya semasa Fasa Peralihan semakin dekat di negara ini.