COVID-19: 592 kematian direkodkan pada 11 September

PUTRAJAYA, 12 SEPT – Sebanyak 592 kes kematian akibat COVID-19 yang direkodkan semalam (11 Sept) seperti yang dimuat naik menerusi laman baharu Kementerian Kesihatan (KKM) adalah termasuk kes-kes ‘backlog’ atau data tunggakan, kata Ketua Data Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Dr Mahesh Appannan.

Beliau berkata daripada jumlah itu, hanya 100 kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam iaitu sehingga 11:59 malam 11 September manakala baki 492 kes tidak pernah dilaporkan sebelum ini. Dr Mahesh berkata KKM memutuskan untuk mengambil pendekatan lebih telus dalam melaporkan jumlah kematian dan kematian sebenar untuk keseluruhan serta kes-kes kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).

Kes-kes kematian yang dilaporkan adalah berdasar hari sesuatu kes diumumkan kepada orang ramai manakala kematian sebenar berdasarkan tarikh sebenar kematian.

“Fokus pada (kes) kematian disebabkan COVID-19 akan membantu mendapatkan angka sebenar bagi analisis keberkesanan vaksin dan kadar kes kematian,” katanya semasa sesi penerangan kepada media mengenai data pada laman tersebut hari ini. – Bernama