COVID-19: 71 kes baharu, 8 kritikal

Oleh Syahmi Hassan
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 OGOS – Sebanyak 71 kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini seramai 2,712 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar (gambar), terdapat 24 tambahan kes-kes baharu kepada sembilan kluster aktif yang sedia ada.

“Kes-kes dalam kluster-kluster aktif ini adalah mereka yang sedang menjalani kuarantin setelah didapati mempunyai kontak dengan beberapa kes positif sebelumnya.”

Beliau semasa sidang media hari ini turut mengongsikan sebanyak 47 kes masih disiasat untuk mengenal pasti sumber jangkitan.

“Pengesanan kontak bagi semua kes baharu ini masih giat dijalankan. Semua kontak terdekat yang dikenal pasti akan diarahkan untuk menjalani kuarantin mandatori dan ujian RT-PCR SARS-CoV-2,” katanya.

Dalam pada itu, 130 kes telah disahkan sembuh hari ini yang termasuk 51 kes positif dalam Kategori 1 yang telah membuat pengasingan diri selama 14 hari di rumah masing-masing.

“Kesemua mereka telah melakukan ujian swab ulangan pada hari ke-12 dan disahkan telah sembuh,” jelas Yang Berhormat Dato.

Oleh itu, jumlah kes yang sembuh di Negara Brunei Darussalam meningkat kepada sebanyak 966 kes manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 1,734 kes.

Dalam kalangan kes aktif tersebut, lapan kes dalam keadaan kritikal yang mana tujuh daripadanya memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation) manakala satu lagi kes masih memerlukan bantuan mesin tambahan heart/lung machine (ECMO).

Sementara itu, 28 kes lain yang dikategorikan dalam Kategori 4 sekarang ditempatkan di Unit Rawatan Intensif bagi pemantauan rapi.

Manakala, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,386 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 232,227 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan www.moh.gov.bn atau melalui aplikasi BruHealth.

Sebarang pertanyaan mengenai COVID-19 boleh disalurkan ke Talian Nasihat Kesihatan 148, Talian Darussalam 123, Talian Helpdesk Brunei Red Crescent (BRC) atau e-mel kepada: askhal@moh.gov.bn.