COVID-19: Anak kapal dijangkiti penuh bermisteri

BUENOS AIRES, 14 JULAI – Argentina berusaha menyelesaikan misteri perubatan apabila 57 anak kapal dijangkiti koronavirus selepas 35 hari di laut, meskipun kesemua kru diuji negatif sebelum meninggalkan pelabuhan.

Kapal perikanan Echizen Maru kembali ke pelabuhan selepas beberapa krunya mula menunjukkan simptom COVID-19, kata kementerian kesihatan untuk wilayah selatan Tierra del Fuego semalam.

Menurut kementerian, 57 anak kapal, daripada 61 anggota kru, didiagnosis dijangkiti virus selepas menjalani ujian baharu.

Bagaimanapun, semua anggota kru telah menjalani kuarantin mandatori 14 hari di sebuah hotel di bandar Ushuaia. Sebelum itu, mereka mempunyai keputusan negatif, kata kementerian dalam satu kenyataan.

Dua kru lain telah diuji negatif, dan dua orang lagi sedang menunggu keputusan ujian, kata jawatankuasa operasi kecemasan wilayah.

“Adalah sukar untuk membuktikan bagaimana kru dijangkiti, memandangkan selama 35 hari, mereka tidak mempunyai kontak dengan darat dan bekalan hanya dibawa masuk dari pelabuhan Ushuaia,” kata Alejandra Alfaro, pengarah penjagaan kesihatan di Tierra del Fuego.

Sekumpulan pakar sedang memeriksa ‘kronologi simptom dalam kru untuk menentukan kronologi jangkitan,” kata beliau.

Ketua jabatan penyakit berjangkit di Hospital Ushuaia, Leandro Ballatore berkata beliau percaya ‘ia adalah kes yang terlepas semua deskripsi dalam penerbitan, disebabkan tempoh inkubasi yang begitu lama masih belum dicatat di mana-mana tempat.”

“Kami tidak dapat menjelaskan bagaimana simptom muncul,” kata Ballatore. – AFP