COVID-19 batasi sidang parlimen 18 Mei

KUALA LUMPUR, 17 MEI – Seramai 220 daripada 222 ahli Parlimen disahkan negatif COVID-19 sekali gus memboleh-kan mereka menghadiri persidangan Dewan Rakyat esok.

Dua lagi ahli Parlimen tidak menjalani ujian saringan itu kerana sedang menjalani kuarantin disebabkan dikesan sebagai kontak rapat dengan kes positif COVID-19.

Seramai 950 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, Senator, warga kerja Parlimen serta petugas media yang dijadual berada di bangunan Parlimen semasa persidangan sehari penggal ketiga Parlimen ke-14 menjalani ujian saringan COVID-19 secara berperingkat mulai 13 Mei bagi memastikan mereka yang hadir bebas wabak itu.

Persidangan Parlimen kali ini yang berlangsung di tengah-tengah negara berjuang memerangi wabak yang membawa maut itu, diadakan dengan peraturan keselamatan kesihatan yang ketat sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. – Bernama