COVID-19: beribu-ribu pelancong terkandas

KATHMANDU/THAILAND, 27 MAC – Dari pantai-pantai disinari cahaya matahari di Thailand sehinggalah kaki gunung Gunung Everest di Nepal, para pelancong di seluruh Asia mendapati cuti impian mereka menjadi mimpi ngeri apabila syarikat-syarikat penerbangan membatalkan penerbangan dan negara-negara menutup sempadan dalam usaha membendung penularan pandemik koronavirus COVID-19.

Beratus-ratus pelancong yang melarikan diri dari cuaca sejuk di Eropah bergelut minggu ini mencari jalan alternatif untuk pulang dari pulau Phuket di Laut Andaman, Thailand.

Ksenia Vostriakova dan rakannya dijadualkan kembali ke Moscow pada 3 April melalui penerbangan Singapore Airlines, namun ia adalah antara yang dibatalkan apabila syarikat itu mengurangkan penerbangan. Mereka terpaksa menempah penerbangan Qatar Airways pada 6 April dan berharap tiada apa yang berubah.

“Kami bimbang penerbangan ini juga dibatalkan,” kata Vostriakova, menambah visa mereka tamat pada pertengahan April.

Thailand mengisytiharkan perintah darurat minggu ini ketika kerajaan cuba menangani krisis virus. Negara itu yang tahun lalu mengalu-alukan 39 juta pelancong, mengumumkan bahawa ia akan menutup semua sempadannya kepada semua orang asing.

Syarikat penerbangannya Thai Airways pula menggantung hampir semua penerbangannya.

Ia adalah satu trend yang ketara di seluruh benua dan dunia. Majlis Lapangan terbang Antarabangsa Asia Pasifik hari ini mengatakan 12 hab utamanya di Asia Pasifik menyaksikan pengurangan dalam laluan udara kepada lebih 80 peratus dalam minggu kedua Mac berbanding tempoh sama tahun lalu.

Dalam pada itu, hampir 10,000 pelancong juga dipercayai terkandas di Nepal selepas kerajaan mengarahkan satu lockdown sepenuhnya yang menghentikan semua penerbangan dan perjalanan di jalan raya bagi mencegah penularan koronavirus, menurut lembaga pelancongan negara itu. Kebanyakan pejabat kerajaan dan perniagaan sudah pun ditutup.

Sementara itu, negara-negara di dunia turut bertungkus-lumus menyewa pesawat carter untuk membawa pulang rakyatnya dengan Jerman hari ini mengatur sebuah pesawat carter Qatar Airways yang berlepas dari Kathmandu bersama 305 warganya, dalam satu operasi menyelamat mereka. – AP

Seorang pemandu Nepal menunggu pelancong Jerman yang akan dibawa ke lapangan terbang Kathmandu, Nepal dan menaiki pesawat carter disediakan kerajaan Jerman untuk membawa pulang warganya yang terkandas. – AP