COVID-19 boleh jangkiti anak dalam kandungan

PARIS, 10 JULAI – Saintis semalam memaklumkan terdapat ‘bukti kukuh’ bahawa ibu mengandung yang positif COVID-19 boleh menyebarkan virus itu kepada anak dalam kandungan.

Perkara itu dimaklumkan dalam satu penemuan yang dilihat bakal mengubah kaedah bagaimana wanita mengandung akan dilindungi dalam tempoh pandemik ini.

Walaupun terdapat beberapa kes terpencil anak damit dijangkiti virus itu, kajian itu menunjukkan terdapat kaitan kukuh pemindahan virus antara ibu mengandung dengan anak dalam kandungan.

Penyelidik di Itali mengkaji 31 wanita mengandung yang dimasukkan ke hospital selepas dijangkiti COVID-19, dan menemui virus itu dalam uri, tali pusat, vagina seorang wanita dan dalam susu badan.

Mereka turut mengesan antibodi COVID-19 dalam tali pusat beberapa wanita mengandung, serta dalam spesimen susu badan.

Ketua penyelidik dari Universiti Milan, Claudio Fenizia, berkata penemuan itu secara kukuh menunjukkan bahawa penyebaran in-vitro boleh berlaku.

“Berdasarkan kadar individu dijangkiti di seluruh dunia, jumlah wanita mengandung yang boleh terkesan dengan perkara ini adalah berkemungkinan sangat tinggi,” katanya kepada AFP.

Antara penemuan lain termasuk pasukan penyelidik itu mengenal pasti tindak balas keradangan yang dicetuskan oleh COVID-19 dalam uri dan plasma darah tali pusat wanita mengandung itu. – AFP

Gambar fail 7 Mei 2020 menunjukkan seorang wanita hamil memakai penutup mulut dan hidung dan sarung tangan sambil memegang perutnya ketika menunggu dalam barisan untuk membeli barangan keperluan di Waltham, Massachusets. Satu kajian di Itali membuktikan anak damit boleh berjangkit daripada wanita yang menghidapi COVID-19. – AP