COVID-19: Brunei catat 45 kes baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Negara Brunei Darussalam telah mencatatkan 45 kes baharu jangkitan COVID-19 pada hari pertama Fasa Peralihan, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 14,444 orang.

Menurut Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar, terdapat tambahan 36 kes baharu kepada sembilan kluster aktif sedia ada yang merupakan kontak-kontak terdekat kepada beberapa kes positif sebelumnya.

Sementara itu, tidak ada kluster baharu dikesan, tambah beliau semasa Sidang Media bagi Situasi Terkini Jangkitan COVID-19 di Negara Brunei Darussalam di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.

Yang Berhormat Dato turut memaklumkan bahawa dua kluster telah ditutup setelah tidak ada kes dikesan dalam kluster berkenaan selama 28 hari, iaitu Kluster 2230 dan Kluster HHY Construction Staffhouse, menjadikan jumlah kluster yang aktif menurun kepada 159 kluster.

“Manakala, terdapat sembilan kes baharu yang masih dalam siasatan bagi mengenal pasti sumber jangkitan,” kongsi Yang Berhormat Dato lagi.

Yang Berhormat Menteri Kesihatan semasa menghadiri sesi sidang media kelmarin. – Gambar oleh James Kon

Menurut beliau lagi, 68 kes telah disahkan sembuh pada hari ini yang membawa jumlah kes sembuh di negara ini kepada 13,925 manakala jumlah kes aktif ialah sebanyak 421.

Dalam kalangan kes-kes yang sedang dalam rawatan, Yang Berhormat Dato memaklumkan bahawa lima kes adalah dalam kategori 5 dan sedang dirawat di unit rawatan intensif dan kesemua mereka memerlukan bantuan mesin pernafasan (artificial ventilation).

“Sementara itu, tidak ada kes lain dikategorikan dalam kategori 4 iaitu yang di bawah pemantauan rapi dan memerlukan bantuan oksigen,” katanya. Manakala dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 3,472 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 578,775 ujian.

Di hujung kenyataannya, Yang Berhormat Menteri Kesihatan menyeru orang ramai untuk sama-sama mematuhi segala garis panduan dan arahan yang telah dikeluarkan oleh pihak kerajaan supaya Fasa Peralihan ini berjalan dengan lancar.

“Mudah-mudahan kita semua akan sentiasa dilindungi dan dirahmati oleh Allah SWT jua,” beliau mendoakan.