COVID-19: Brunei catat satu lagi kes import baharu

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Satu kes baharu jangkitan COVID-19 telah dicatatkan di Negara Brunei Darussalam, hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negara ini kepada 176 orang.

Kementerian Kesihatan dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini, menjelaskan bahawa kes 176 itu ialah seorang perempuan berumur 23 tahun yang telah tiba ke negara ini dari Nepal melalui Kuala Lumpur, Malaysia pada 13 Januari 2021 dengan menaiki Penerbangan Diraja Brunei BI874.

Beliau kini berada di Pusat Pengasingan Kebangsaan bagi pemantauan dan rawatan.
Manakala itu, pengesanan kontak bagi kes tersebut mendapati beliau tidak mempunyai sebarang kontak terdekat, tambah kenyataan.

Kes baharu berkenaan juga menjadikan empat kes sedang dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan dan kesemuanya dalam keadaan baik, menurut kenyataan itu lagi.

Kes terakhir jangkitan tempatan COVID-19 ialah pada 6 Mei 2020 iaitu 265 hari yang lalu, di mana jumlah kes import sejak kes jangkitan terakhir tempatan dilaporkan ialah sebanyak 35 kes.

Kenyataan turut memaklumkan bahawa seramai 516 orang sedang menjalani pengasingan diri mandatori dengan seramai 11,919 orang telah menamatkan pengasingan diri mandatori sejak Mac 2020.

Sementara itu, dalam tempoh 24 jam yang lalu, sebanyak 211 sampel telah diuji bagi virus SARS-CoV-2 yang membawa jumlah keseluruhan ujian makmal dijalankan sejak Januari 2020 kepada 90,111 ujian.

Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, orang ramai boleh melayari laman web Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn atau menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 atau melalui aplikasi BruHealth.