Oleh Sim Y. H.
Gambar serahan Kementerian Kesihatan
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Negara Brunei Darussalam telah melangkaui satu tahun tanpa jangkitan tempatan COVID-19, walau bagaimanapun, langkah-langkah berjaga-jaga tetap dikekalkan terutama apabila kebanyakan kes-kes jangkitan masih ada dalam kalangan yang tiba di negara ini.
Penekanan itu dibuat oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Jaafar (gambar) dalam kenyataannya semasa Perhimpunan Kesihatan Sedunia 2021, ke-74 yang berlangsung dari 24 Mei hingga 1 Jun secara dalam talian.
Yang Berhormat Dato dalam kenyataan yang disampaikannya pada 25 Mei lalu, menyampaikan antara kaedah yang dilaksanakan untuk memantau dan mengawal keadaan kesihatan awam di dalam negara ini ialah penyelenggaraan sistem dan teknologi kesihatan yang mampan dan sistem rawatan kesihatan yang baik, selaras dengan misi Kementerian Kesihatan dalam memastikan penyediaan sistem kesihatan secara berterusan dan berkualiti tinggi juga komprehensif serta berkesan.
Beliau turut menyeru supaya setiap negara ahli untuk mengambil peranan masing-masing dalam merealisasikan Agenda Kesihatan Global yang merupakan asas kepada pencapaian Liputan Kesihatan Sejagat dan Matlamat Pembangunan Mapan (SDG).
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, di sini, perhimpunan itu dihadiri oleh perwakilan dari 194 buah negara ahli, wakil organisasi kesihatan global, ketua negara atau kerajaan serta presiden organisasi antarabangsa dan serantau.
Pada 24 Mei lalu, Menteri Kesihatan Barbados, Puan Yang Terutama Jagat Prakash Nadda selaku presiden Perhimpunan Kesihatan ke-73, menyampaikan ucaptama untuk membuka persidangan berkenaan sebelum memberi ruang kepada kenyataan negara yang disampaikan oleh ketua-ketua negara yang terpilih.
Setelah itu Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia, Tedros Adhanom Ghebreyesus menyampaikan kenyataan dan penghargaan kepada mereka yang memberikan sumbangan substantif dalam bantuan kemanusiaan.
Pada sidang itu, PYT Jagat Prakash Nadda menyerahkan tanggungjawab presiden kepada Menteri Kesihatan Bhutan, PYT Dasho Dechen Wangmo yang terpilih sebagai presiden Perhimpunan Kesihatan ke-74.
Dalam ucapannya, PYT Dasho Dechen Wangmo menekankan isu yang masih perlu ditangani secara berterusan berkaitan wabak COVID-19 yang masih melanda dunia terutama bagi negara-negara membangun, berpendapatan rendah dan sederhana.
Beliau juga menyeru semua negara ahli memainkan peranan masing-masing.
Perhimpunan akan berterusan sehingga 1 Jun dan bermula setiap pukul 4 petang waktu Negara Brunei Darussalam dan rehat selama sejam pada pukul 7 malam sebelum disambung semula pada pukul 8 malam.